MPP anjur Pesta Telaga Air 2014 pada 29-30 Nov ini

0

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menganjurkan Pesta Telaga Air 2014 pada 29 hingga 30 November di Esplanad Telaga Air.

Timbalan Pengerusi MPP Dr Zaiedi Suhaili berkata pelbagai acara dirancang sempena pesta tersebut dengan menawarkan hadiah wang tunai.

“Objektif kami menerusi pesta ini adalah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di Telaga Air.

“Selain itu, ia juga bagi menyediakan program komuniti untuk penduduk di sekitar Kampung Telaga Air dengan menarik penglibatan semua lapisan masyarakat,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPP, kelmarin.

Menurut Zaiedi, acara tumpuan pada pesta tersebut ialah Telaga Air Nature Challenge (berbasikal, berlari, berkayak) pada 29 November dan pertandingan memancing pada 30 November.

Katanya, kedua-dua acara tersebut adalah terbuka kepada orang ramai di mana borang penyertaan akan dikeluarkan pada 15 Oktober.

Jelas beliau, yuran penyertaan bagi Telaga Air Nature Challenge adalah sebanyak RM80 (termasuk insurans).

Katanya, cabaran tersebut adalah melibatkan laluan berbasikal sejauh 10.8 kilometer dari Telaga Air ke Kampung Trombol, laluan berlari sejauh 3.5 kilometer adalah dari Kampung Trombol ke Kampung Tanjung Tamakol dan laluan berkayak sejauh dua kilometer adalah dari Tanjung Tamakol ke Telaga Air.

Hadiah bagi acara ini adalah RM2,000, RM1,500, RM1,000 dan RM500 bagi tempat pertama, kedua, ketiga dan keempat, manakala tempat kelima hingga kesepuluh akan menerima hadiah sagu hati.

“Acara ini adalah tertakluk kepada 50 penyertaan sahaja. Justeru, kami menyarankan kepada yang ingin menyertainya agar mendaftar awal di mana tarikh tutup penyertaan adalah pada  15 November,” kata Zaiedi.

Bagi pertandingan memancing pula, Zaiedi berkata ia akan bermula dari jam 8 pagi sehingga 2 petang dengan menawarkan hadiah wang tunai RM400, RM300, RM200 dan RM100 bagi pemenang pertama, kedua, ketiga dan keempat manakala pemenang kelima hingga kesepuluh menerima hadiah sagu hati.

Turut akan diadakan ialah pertandingan masakan laut, pertandingan karaoke dan tarik tali pada 30 November dengan kesemua acara ini turut menawarkan hadiah wang tunai.

Hadiah pertama hingga keempat bagi pertandingan masakan laut adalah sebanyak RM150, RM100, RM80 dan RM50 manakala tempat kelima hingga kesepuluh menerima sagu hati.

Pertandingan karaoke turut menawarkan hadiah RM100 kepada pemenang dengan tempat kedua dan ketiga masing-masing RM80 dan RM60 manakala tempat keempat hingga keenam menerima sagu hati.

Tarik tali pula menawarkan hadiah agak lumayan iaitu RM600 bagi pemenang dan RM500, RM400, RM300 masing-masing bagi pemenang kedua, ketiga dan keempat dengan saguhati diberikan kepada pemenang di tempat kelima hingga kelapan.

Aktiviti sampingan lain ialah pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan sepak takraw, futsal dan bergendang selain aktiviti kanak-kanak berkhatan dan hiburan oleh Pentarama daripada Jabatan Penerangan.