Orang bukan Islam lebih yakini perbankan Islam

0

Oleh Hamimi Kassim //

Lebih telus, orang Islam tidak harus berfikir  dua kali untuk berurusan dengan bank Islam

KUCHING: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam mendedahkan keyakinan golongan bukan Islam untuk berurus niaga dengan bank-bank Islam di negara ini adalah lebih tinggi berbanding orang Islam sendiri.

Menurutnya, berdasarkan statistik oleh Bank Negara pada tahun 2011, peratusan rakyat yang berurus niaga dengan perbankan Islam di negara ini hanya dalam lingkungan 21 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, kurang 50 peratus adalah orang Islam sendiri yang mana selebihnya, 55 hingga 60 peratus adalah bukan Islam.

“Ini menunjukkan keyakinan untuk berurus niaga dengan bank Islam adalah lebih tinggi dalam kalangan orang bukan Islam dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana sepatutnya orang Islam sendiri tidak perlu berfikir dua kali untuk berurusan dengan bank Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Simposium Muamalah Islam sempena Program Dakwah Negara Peringkat Negeri Sarawak di Dewan HIKMAH di sini, semalam.

Tambahnya, terdapat banyak faktor golongan bukan Islam seperti kaum Cina yang terlibat dalam perniagaan memilih untuk berurus niaga dengan perbankan Islam kerana terbukti ia lebih telus dan tiada caj tambahan.

“Tetapi malangnya, umat Islam sendiri tidak melihat perkara ini sebaliknya masih mahu mempertikaikan sama ada perbankan Islam ini menawarkan produk yang lebih murah atau mahal.

“Walhal sama seperti dahulu, perbankan Islam pada hari ini dari segi daya saing dengan bank konvensional lain adalah sama sahaja dari segi kadar keuntungan yang dikenakan.

“Bahkan perbankan Islam adalah lebih baik iaitu lebih telus dan berasaskan pada kadar yang tetap (tidak berubah),” ujarnya.

Justeru, Asyraf menegaskan perkara itu perlu disebarkan kepada umat Islam dan penganjuran program anjuran YADIM bersama institusi perbankan Islam dan takaful di seluruh negara itu adalah salah satu daripada usaha tersebut.

“Sebab itulah kita menganjurkan program ini di semua negeri dengan membentangkan empat kertas kerja berkaitan.

“Melalui program ini juga, kita cuba membantu kerajaan untuk mencapai matlamat pada tahun 2020 untuk menguasai pasaran 40 peratus dalam perbankan Islam dan takaful berbanding 20 hingga 25 peratus pada hari ini,” jelasnya.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Terdapat empat kertas kerja yang dibentangkan iaitu Perbankan Islam: Kejar Untung atau Pelopor Kebajikan, Takaful: Payung Warisan Anda, Pelaburan Patuh Syariah: Bijak Mengatur Senang Kemudian dan Pengursan Hutang.