Peluang kedua untuk perbaiki kelemahan

0

Oleh Mahathir Haroun //

Soalan lebih sukar, namun tidak mematahkan semangat duduki semula UPSR

KUCHING: Kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak mematahkan semangat murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Gita untuk menduduki semula peperiksaan awam tersebut.

Ibarat tidak mengalah dengan kebocoran kertas peperiksaan, tinjauan Utusan Borneo di sekolah terbabit mendapati kebanyakan pelajar lebih bersemangat dan menganggap peperiksaan semula sebagai peluang kedua untuk memperbaiki kelemahan.

Bagi Aleeya Aesya Abdul Malek yang tidak patah semangat untuk menduduki semula UPSR menganggap peperiksaan semula itu agak sukar berbanding sebelum ini.

“Peperiksaan semula ini agak susah berbanding soalan sebelum ini yang tidak begitu ‘panas.’ Mungkin sebelum ini soalan bocor menyebabkan ia senang.

“Saya rasakan soalan peperiksaan semula ini dua kali ganda lebih susah berbanding sebelum ini,” katanya.

Dia yang berasal dari Taman Gita bagaimanapun tidak tertekan dengan perkara itu sebaliknya akan terus melakukan yang terbaik untuk baki kertas peperiksaan akan datang.

Muhd Iqmal Shah yang sedikit kecewa dengan peperiksaan semula UPSR itu tetap melahirkan rasa gembira kerana diberikan peluang kedua.

“Bagi saya, ada soalan yang susah dan ada juga yang senang. Walaupun saya kecewa dengan peperiksaan semula ini tetapi saya juga gembira kerana diberi peluang kedua.

“Setidak-tidaknya saya dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan pada peperiksaan sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, tumpuannya untuk peperiksaan semula tetap sama seperti sebelum ini.