Sambaran buaya

2

Oleh Saleman Senin //

Lelaki maut dipercayai dibaham sang bedal ketika kumpul batang rumbia di Sungai Rimbas

DEBAK: Seorang lelaki maut dipercayai dibaham buaya ketika mangsa bersama empat rakannya mengumpul batang rumbia dalam kejadian berdekatan Rumah Buda, Debak di sini semalam.

DITEMUI: Mayat mangsa dibawa ke daratan selepas dipercayai dibaham buaya Sungai Rimbas, semalam.

Mangsa, Mustapa Bunsu, 50, berasal dari Kampung Tuie sedang menyusun dan mengikat batang rumbia di Sungai Rimbas bersama rakan-rakan apabila dia dikatakan tiba-tiba tenggelam.

Kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika mangsa bersama empat rakan sekampung iaitu Jaiani Fauzi, Fauzi Dollah, Zulkepi Daud dan Mohd Ismawi Abdullah melakukan kerja-kerja sebelum menghanyutkan batang rumbia untuk dibawa ke kampung mereka.

Empat rakannya memberitahu, mangsa dilihat timbul semula buat seketika dicelah-celah batang rumbia sebelum terus hilang dari pandangan mereka.

Sejurus itu, usaha mencari dijalankan melibatkan penduduk kampung bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

Sekitar jam 3.40 petang semalam, mayat mangsa ditemui tersangkut pada batang kayu di sungai terbabit, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Mayat mangsa yang dikatakan dalam keadaan menyayat hati dibawa ke pangkalan Kampung Melayu Dit sebelum dirujuk ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Lelaki maut dipercayai dibaham sang bedal ketika kumpul batang rumbia di Sungai Rimbas.