Sarawak jadi ‘syurga’ selam skuba

0

Oleh Clare Cinderella //

Enam pakej dibangun untuk tingkat pemasaran, perkembang industri

MIRI: Enam pakej menyelam skuba yang telah dibangunkan Tourism Malaysia di negeri ini bakal menjadikan Sarawak sebagai ‘syurga’ bagi para penyelam skuba.

Pelancaran pakej dinamakan ‘Sarawak Adventure Dive’ 2014/2015 Peringkat Negeri itu dirasmikan Pengarah Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof di sini, petang semalam.

Pakej tersebut dibangunkan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan empat buah agensi pelancongan terdiri Borneo Exploration Tours & Travel Services dan CPH Travel Agencies berpusat di Kuching serta Minda Nusantara Tour & Travel Agencies dan Planet Borneo Tours & Travel Services di Miri.

Musa memberitahu industri menyelam skuba bukan sekadar minat sahaja tetapi sudah berkembang menjadi satu industri mampu menjana pendapatan berbilion dolar di serata dunia.

Katanya, industri pelancongan dunia turut mengakui aktiviti menyelam skuba kini menjadi sukan rekreasi yang tumbuh dengan begitu pantas.

“Persatuan Jurulatih Penyelam Profesional (PADI) merekodkan jumlah penyelam bertauliah dan diiktiraf antarabangsa pada 2012 ialah 21.2 juta orang melonjak drastik daripada hanya 2.5 juta penyelam sahaja pada 1998.

“Angka ini sekali gus menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan bagi industri ini sepanjang tempoh 14 tahun,” jelasnya.

Malah di Malaysia, dianggarkan jumlah pendapatan dijana menerusi aktiviti menyelam skuba sepanjang tahun 2012 mencecah lebih RM500 juta. Sehubungan itu, mengambil peluang perkembangan industri tumbuh subur dengan potensi Sarawak menawarkan destinasi-destinasi menyelam antara terbaik di negara ini maka Tourism Malaysia membangunkan pakej dilancarkan semalam.

Musa berkata, di Sarawak lebih 40 pusat menyelam dikenal pasti sesuai aktiviti tersebut termasuk Pulau Satang Besar, Pulau Satang Kecil serta Pulau Sempadi di Kuching manakala di Miri antara lokasi amat popular ialah perairan pantai Miri serta gugusan terumbu karang Luconia berhampiran Beting Patinggi Ali.

Menurutnya, enam pakej dibangunkan di negeri ini ialah Wreck Dives, Dive Package I dan Dive Package II di Kuching serta Dive Miri, Miri Dive Holidays dan Miri Dive & Stay Package. Kesemuanya berharga dari RM748 hingga RM2,400 seorang bergantung jenis pakej dipilih.

Sempena pelancaran pakej tersebut, seramai 30 penyelam terdiri wakil media, pengusaha pusat menyelam dan agensi-agensi pelancongan seluruh negara termasuk penggiat industri pelancongan di sini dijemput menyertai aktiviti menyelam di perairan negeri ini.

Pakej ‘Sarawak Adventure Dive’ 2014/2015 diperkenalkan buat pertama kali pada program ‘Cuti-Cuti 1Malaysia Travel Fair’ di Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu dan berterusan sempena Tahun Melawat Malaysia (VMY) hingga akhir 2015.