‘Smartpark’ ciptaan pelajar Swinburne Sarawak menang tempat ketiga

0

KUCHING: Sistem letak kereta tidak memerlukan tiket dikenali sebagai ‘Smartpark’ hasil ciptaan pelajar Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak berjaya memenangi ‘Innovate Malaysia Design 2014’ (Dreamcatcher) baru-baru ini.

Sistem yang boleh diprogramkan melakukan tugasan melalui telefon pintar dan teknik penyembunyian maklumat tersebut merupakan satu-satunya inovasi daripada universiti swasta yang berjaya memasuki pusingan akhir pada pertandingan yang diadakan di Pulau Pinang itu.

Bukan itu sahaja, inovasi yang memenangi tempat ketiga ini juga mampu merekod plat nombor siri kenderaan apabila kenderaan memasuki tempat letak kereta.

Menurut pensyarah yang menyelia pasukan tersebut, Dr Almon Chai, Smartpark dapat menyimpan maklumat dalam sistemnya kemudian mengemas kini data tersebut secara automatik apabila bayaran tempat letak kereta dibuat.

“Apabila kenderaan mendekati pintu keluar, sensor akan mengesan nombor plat dan memeriksa data tersimpan untuk memastikan ia boleh dibiarkan keluar. Jika bayaran telah dibuat, pintu pagar akan dibuka.

“Malah, pemandu juga dapat meninggalkan tempat letak kereta dengan menggunakan ‘Quick Response’ atau QR kod,” jelasnya dalam kenyataan media yang diterima Utusan Borneo semalam.

Beliau yang juga koordinator program Robotik dan Mekatronik menambah, satu lagi ciri Smartpark ialah jika kenderaan dikeluarkan dari tempat letak kereta, sepertimana apabila berlakunya kecurian, sistem ini akan memberitahu pemilik kenderaan melalui telefon mudah alihnya.

Justeru katanya, Smartpark dapat diimplementasikan ke dalam sistem letak kereta sedia ada.

Selain itu, pertandingan tersebut turut menyaksikan pelajar Swinburne Sarawak telah memenangi satu lagi hadiah tempat ketiga untuk teknik yang dapat menyembunyikan maklumat dalam imej digital tanpa menyebabkan saiz fail bertambah.

“Ini dapat digunakan untuk mengenal pasti ketulenan wang kertas.

“Ia juga untuk komunikasi rahsia ataupun untuk mengurangkan penggunaan ‘bandwidth’ apabila imej dan teks ditransmisikan bersama,” kata penyelia program elektronik dan elektrikal, Dr Chua Hong Siang, selaku penyelia pasukan.

Satu lagi pasukan dari Swinburne Sarawak mendapat hadiah sagu hati untuk robot mudah alih yang dipanggil CHAP, nama singkatan untuk ‘Care for Humans Assistance Project’.

Chai memberitahu, robot ini dapat disambungkan dengan telefon mudah alih melalui satu aplikasi.

“Robot kecil ini dapat melakukan tugasan seperti memberi maklumat cuaca, berita-berita terkini dan data-data lain,” jelasnya.

CHAP juga dapat diprogram agar menberi peringatan dan merakam gambar.

Terdahulu, pasukan yang memenangi tempat ketiga masing-masing mendapat hadiah wang tunai RM1,000 serta perisian dan peralatan komputer, manakala pemenang sagu hati mendapat wang tunai RM500.

Pasukan yang masing-masing dianggotai dua pelajar itu, mengambil masa selama lapan bulan untuk mereka, membangun dan menyiapkan projek masing-masing.