Bank perlu gantikan ATM dengan yang lebih canggih

0

Ciri-ciri keselamatan bank perlu dikemas kini sentiasa

KUALA LUMPUR: Institusi perbankan di negara ini disaran menukar mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada jenis yang lebih canggih bagi mengelak kejadian menggodam sistem ATM oleh sindiket Amerika Latin baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selain itu, ciri-ciri keselamatan yang diguna pakai oleh bank serta sistem perisian ATM perlu dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

“Mesin ATM yang lama mudah digodam oleh pihak penjenayah dan oleh itu pihak bank perlu membuat pelaburan dalam menggantikan dengan mesin yang lebih canggih,” katanya pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Krisis Asia ke-12 (ACMC) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sindiket Amerika Latin yang melarikan wang tunai lebih daripada RM3 juta setelah menggodam 17 mesin ATM di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor.

Dalam majlis berasingan di PUTRAJAYA, Wan Junaidi berkata beliau tidak menolak kemungkinan peranan ‘orang dalam’ dalam kes tersebut.

“Selepas CD dimasukkan pada mesin ATM itu, penjenayah berkenaan ada hubungi seseorang. Dan orang yang dia hubungi ada berikan nombor kod pula.

“Jadi saya fikir mungkin ada orang dalaman (yang terlibat). Polis akan jejak langkah orang ini. Bukan orang luar sahaja,” katanya selepas melancarkan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi di Jabatan Pendaftaran Negara di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata anggota sindiket Amerika Latin yang dikenal pasti dalam kejadian menggodam mesin ATM milik beberapa bank itu masih berada di dalam negara.

Menurutnya pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi menjejak anggota kumpulan penjenayah itu dengan mempertingkatkan kawalan keselamatan di semua pintu keluar negara.

Sementara itu, di KEDAH, polis akan meningkatkan rondaan di semua kawasan yang menempatkan mesin ATM pada waktu malam dan hujung minggu sebagai langkah untuk membanteras kejadian menggodam sistem ATM.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata rondaan yang kerap oleh anggotanya mampu untuk mengesan sebarang kemungkinan kegiatan menggodam mesin ATM oleh pihak tidak bertanggngjawab.

“Kita kena lebih berwaspada jika terdapat pergerakan warga Amerika Latin di negeri ini bagi mengelak kejadian tersebut berlaku,” katanya kepada pemberita pada majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Padang Terap di Kuala Nerang di sini.

Pada majlis tersebut, DSP Ahmad Nasir Jaafar dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Padang Terap yang baharu bagi menggantikan DSP Ku Yaakob Ku Hamad yang ditukarkan menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Arau.

Ahmad Nasir, 55, berasal dari Tanjung Radin, Pendang telah berkhidmat dengan pasukan polis selama 34 tahun dan sebelum ini menjawat jawatan Pegawai Turus Logistik Pengangkutan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor selama enam tahun.

Jawatan Ketua Polis Daerah sebelum ini dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap ASP Chang Kut Choi sejak Mei lepas. — Bernama