Belia harus ambil peluang libatkan diri dalam bidang teknikal: Adenan

0

SANTUBONG: Belia khasnya dari luar bandar digesa supaya mengambil peluang melibatkan diri dalam bidang kemahiran teknikal kerana ia mampu mendatangkan pendapatan lumayan sama seperti profesion tinggi lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kini bidang teknikal berbeza dengan pada satu ketika dahulu yang sering dipandang rendah oleh masyarakat sebagai pekerjaan kotor.

“Kita mahu anak-anak muda kampung khasnya yang masih tidak ada berbuat apa-apa supaya tidak hanya mengelamun sahaja tetapi mengambil peluang dengan mengikuti latihan teknikal di institusi berkaitan.

“Ini kerana bidang ini menawarkan gaji yang besar sama seperti kerja lain malahan selepas sahaja tamat latihan mereka dijamin mendapat tawaran bekerja khasnya seperti CTE ini (Centre of Technical Excellence),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Centre of Technical Excellence (CTE) yang disempurnakan Yang di- Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di premisnya di Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

Menurut Adenan, malahan kelayakan mengikuti latihan di CTE hanya sehingga SPM sahaja dan mempunyai tempat tinggal percuma, selain wang saku disediakan.

“Kerajaan tidak kisah untuk membelanjakan peruntukan dalam hal ini asalkan para belia kita cemerlang dalam bidang teknikal ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai CTE, Adenan yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata, CTE dahulunya dikenali Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB), ditubuhkan oleh Yayasan Sarawak pada tahun 1973 dan kemudian diambil alih oleh beberapa agensi kerajaan lain.

Ironinya, kata beliau, selepas 41 tahun penubuhannya PLPB kemudian diambil alih semula oleh Yayasan Sarawak dan kini dijenamakan semula sebagai CTE.

“PLPB semasa di bawah Yayasan (Sarawak) telah memperolehi pelbagai anugerah dalam bidang-bidang pembangunan kemahiran teknikal.

“Salah satu contohnya Anugerah Best Nation di Kejohanan Kemahiran Antarabangsa pada tahun 1997 di St Gallen, Switzerland,” jelasnya.

Beliau memberitahu, namun apa yang penting kini ialah CTE yang dilancarkan semalam sebagai mercu tanda baharu terus memperjuangkan tujuan asal bagi pusat tersebut, iaitu memberi peluang kepada belia dan tenaga kerja Sarawak mengangkat taraf hidup mereka menerusi latihan kemahiran teknikal.

Kata beliau, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah mercu tanda yang signifikan bagi pembangunan Malaysia, justeru program pembangunan kemahiran teknikal perlu ditingkatkan lagi sebagai pemangkin untuk menggerakkan negeri ini ke tahap perindustrian seterusnya.

“Usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai CTE mesti juga ditingkatkan lagi kerana peluang untuk menyertai latihan dan pensijilan teknikal mesti disediakan kepada semua masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

“Sejak penubuhannya pada 2012, TEGAS turut memainkan peranan dalam usaha mempromosikan pendidikan teknikal di kawasan luar bandar, bagaimanapun sokongan tambahan masih diperlukan,” katanya.

Adenan pada masa sama menyeru sektor swasta yang menjalin kerjasama dengan CTE bukan sahaja setakat menyertai institusi itu dalam bidang-bidang teknikal diperlukan tetapi juga memberi peruntukan dalam usaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir.