Belum ada laporan sindiket godam ATM di Sarawak

0

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman memberitahu pihaknya belum ada menerima laporan berhubung sindiket menggodam Mesin Tele Automatik (ATM) di negeri ini.

Menurutnya, sungguhpun tiada laporan diterima namun pihaknya mengambil pendekatan awal sebagai langkah pencegahan termasuk mempertingkatkan pemantauan di lokasi yang terdapat mesin ATM serta kemasukan warga Amerika Latin ke negeri ini.

“Walau apapun, kita telah mengingatkan kepada semua anggota kita untuk membuat rondaan dan pemeriksaan di setiap mesin ATM dengan lebih kerap lagi, dan setakat ini semuanya dalam keadaan baik.

“Selain itu juga, kita dengan kerjasama beberapa pihak akan memantau kemasukan warga Latin ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini semalam.

Sementara itu, Sabtu turut mengingatkan orang ramai sekiranya ada kehilangan wang dalam akaun simpanan mereka untuk tampil melaporkan kepada pihak polis.

“Kita juga ingin mengingatkan orang ramai sekiranya ada kehilangan dalam akaun simpanan, sila laporkan segera, agar kita dapat mengambil tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan 10 lagi mesin ATM diserang penggodam bagi mencuri wang daripada bank menjadikan keseluruhan 16 ATM digodam di Selangor,Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.