Hiba menyelubungi pengebumian mangsa serangan buaya Sg Rimbas

0

DEBAK: Suasana hiba me-nyelubungi upacara penge-bumian mangsa serangan buaya di Sungai Rimbas, Mustapa Bungsu, 50, sekitar jam 11 pagi semalam.

Mayat mangsa selamat disemadikan di Tanah Per-kuburan Islam Kampung Tuie dekat sini dengan diiringi kira-kira 50 orang sanak saudara terdekat dari Kampung Tuie dan kampung sekitar Debak dan Pusa.

Mangsa meninggalkan seorang balu serta seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan dua anak perempuan ma-sing-masing berusia 14 dan 13 tahun.

Pemergiannya begitu di-rasai dan satu kehilangan besar bagi keluarganya kerana beliau merupakan tulang belakang keluarga dan bekerja sebagai pengumpul rumbia adalah rutin dan sumber rezekinya.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan berdekatan Rumah Buda, Debak mangsa bersama empat rakan sedang mengumpul dan mengikat batang rumbia untuk dibawa melalui sungai ke kilang di kampung mereka.

Namun demikian, mangsa diserang buaya menyebabkannya terkorban dan ditemui tanpa kepala dan tangan kiri selang beberapa jam gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh penduduk kampung bersama pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis serta orang awam dari Kampung Dit dan sekitarnya.

Sementara itu, ADUN Saribas, Mohamad Razi Sitam berkesempatan menziarahi keluarga mangsa sebelum pengebumian sambil menghulurkan sumbangan sebagai tanda simpati untuk keluarga mangsa.

Beliau turut berpesan kepada masyarakat di kawasan Saribas: “Meskipun malang tak berbau, namun berhati-hatilah dalam melaksanakan tanggungjawab seharian kerana musuh boleh datang tanpa diundang, tanpa kita sedar dia datang menyambar.”

“Walaupun kita tahu telah ditakdir begitu kepada mangsa, namun kita yang tinggal janganlah menyesali takdirnya. Kuatkan semangat untuk terus hidup dan menghadapi masa depan,” katanya.

Hadir sama menziarahi keluarga mangsa ialah Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Betong, Azamshah Aparaeal.