Langkah proaktif diambil untuk cegah jenayah

0

NAIK PANGKAT: Sabtu memakaikan pangkat baharu kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Padawan Naazron Abd Yusof yang dinaikkan pangkat ke DSP pada majlis tersebut.

Polis menempatkan JPJKK di 28 daerah Sarawak untuk memastikan keselamatan masyarakat

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Polis akan menempatkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan  Komuniti (JPJKK) di 28 daerah di negeri ini dalam usaha untuk melaksanakan segala pendekatan proaktif dan bersepadu bagi mencegah jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, jabatan baharu tersebut yang kini hanya berpusat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bagi peringkat negeri merupakan inisiatif untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.

Justeru, langkah menempatkan jabatan tersebut di setiap daerah diyakini mampu mendidik serta membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab dalam mencegah jenayah sekali gus menangani persepsi negatif terhadap isu keselamatan.

“JPJKK bagi kontinjen Sarawak diketuai oleh SAC Burhanuddin Abdul Majib dan jabatan ini akan dikembangkan ke semua 28 daerah di negeri ini seperti Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Bintulu dan Limbang.

“Jabatan ini adalah pendekatan terbaharu PDRM ke arah usaha meningkat kualiti perkhidmatan bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa terkawal dan terjamin,” katanya.

Terdahulu, Sabtu menghadiri Perhimpunan Bulan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawat IPK Sarawak.

Selain itu, beliau turut memberitahu PDRM juga telah mewujudkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang merupakan gabungan cawangan Tatatertib, BAKA dan cawangan naziran setiap jabatan dalam PDRM.

“Objektif penubuhan JIPS ini adalah untuk memperkasakan PDRM dengan memantapkan integriti pegawai dan anggota di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

“Penubuhan dua jabatan baharu tersebut juga adalah untuk memastikan bahawa kita (PDRM) komited dalam menjalankan tanggungjawab yang dituntut oleh masyarakat dalam meningkatkan keupayaan membasmi jenayah,” katanya.

Majlis tersebut semalam juga menyaksikan seramai 52 anggota dinaikkan pangkat ke Deputi Superintenden Polis (DSP), Sub Inspektor (SI) dan Sarjan Mejar (SM).