Lelaki maut, ditikam depan pusat hiburan

0

SIASAT: Kelihatan beberapa anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.

TANJUNG MANIS: Seorang lelaki berusia 30-an ditemui maut dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan dengan sekumpulan lelaki berhampiran sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi semalam.

Mangsa seorang warga tempatan yang bekerja sendiri, dipercayai berasal dari Sri Aman.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Poniman Margiman ketika dihubungi semalam mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

“Berdasarkan laporan awal diterima, pergaduhan itu berlaku sekitar jam 4 pagi. Mangsa dipercayai mati akibat ditikam dengan objek tajam.

“Namun punca pergaduhan dan sebab utama kematian mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Jelasnya lagi, setakat ini pihak polis telah menahan empat individu berusia antara 24 dan 34 tahun untuk membantu siasatan.

Menurut Poniman, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses selanjutnya.

Kes terbabit kini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.