Mahkamah benar semakan kehakiman

0

LEGA: Dusing (dua kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Rayuan 6 Putrajaya, Istana Kehakiman, di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

Panel tiga hakim benar Gereja SIB mohon semakan kehakiman hak guna kalimah ‘Allah’

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memberi kebenaran kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) atau Borneo Evangelical Church untuk mengemu­kakan permohonan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah ‘Al­lah’ dalam semua penerbitan agamanya.

Panel hakim tiga ang­gota diketuai Hakim Datuk Rohana Yusuf sebulat suara membenarkan rayuan gereja itu untuk meneruskan pro­siding permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau memutuskan gereja telah memenuhi syarat untuk mendapatkan kebenaran itu.

Hakim Rohana yang ber­sidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang me­nolak permohonan gereja bagi kebenaran itu.

Beliau menetapkan 16 Okt bagi sebutan semula perkara itu di Mahkamah Tinggi.

Berikutan keputusan itu, perkara itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit permohonan semakan ke­hakiman oleh gereja yang memohon perisytiharan bagi 12 perkara, termasuk hak gereja dan jemaahnya yang bertutur Bahasa Malaysia menggunakan kalimah ‘Al­lah’ dalam Bible terjemahan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia, dan semua pener­bitan dan bahan bacaan lain agama itu.

Gereja itu juga memohon perisytiharan untuk mereka dibenar mengimport buku agama Kristian yang men­gandungi kalimah ‘Allah’, dan hak gereja itu dan jemaahnya untuk mengamalkan agama mereka.

Ia juga memohon peri­sytiharan bahawa keputusan kerajaan melarang penggu­naan empat perkataan, ‘Al­lah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ adalah salah di sisi perlembangaan.

Dalam keputusannya, Hak­im Rohana berkata keputusan Mahkamah dalam kes pener­bitan mingguan Katolik ‘The Herald’ tidak lagi mengikat Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes gereja SIB.

Katanya ini kerana Mahkamah Persekutuan telah mendengar kes itu dan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Ray­uan bahawa kalimah ‘Allah’ bukan perkara teras dalam kepercayaan agama Kristian, dianggap sebagai ‘obiter’ (pendapat tidak mengikat).

Pada 5 Mei tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof me­nolak permohonan gereja SIB bagi kebenaran menge­mukakan semakan kehaki­man, menyatakan Mahkamah Tinggi terikat oleh keputu­san Mahkamah Rayuan ba­hawa kalimah ‘Allah’ bukan perkara teras dalam pegangan agama Kristian.

Hakim Rohana berkata se­makan kehakiman oleh gereja SIB adalah isu penting walau­pun ia (gereja) telah menarik balik tuntutannya bagi perin­tah certiorari dan mandamus supaya dipulangkan semula buku agama kanak-kanak yang mengandungi kalimah ‘Allah’, yang digunakan untuk pendidikan agama di gereja itu.

Buku berkenaan dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri pada 15 Ogos, 2007 tetapi telah dipulangkan kepada gereja itu pada 25 Jan, 2008.

Gereja itu dan presiden­nya Reverend Jerry W.A. Dusing alias Jerry W. Patel, memfailkan permohonan bagi kebenaran mengemukakan permohonan semakan kehak­iman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan pada 10 Dis, 2007.

Terdahulu, peguam Lim Heng Seng berkata kepu­tusan Kementerian Dalam Negeri merangkumi dua bahagian; pertamanya, keputusan spesifik melar­ang pengimportan buku agama kanak-kanak dan keduanya keputusan umum melarang semua penerbitan

lain menggunakan empat perkataan yang digunakan dalam agama Islam iaitu ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’.

Beliau berkata rampasan buku itu dilakukan susu­lan perintah dikeluarkan kementerian itu pada 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan itu dalam penerbitan bukan Islam.

Lim berkata pada hakikat­nya keputusan Kemente­rian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ telah menjejaskan gereja itu dan ia mempunyai hak untuk memohon perisytiharan ber­hubung keputusan itu.

Peguam Kanan Persekutu­an Shamsul Bolhassan berkata oleh kerana pihak gereja telah menarik balik tuntutannya bagi perintah certiorari dan mandamus, mereka tidak lagi boleh memohon peri­sytiharan itu kerana perkara pokok dalam kes itu tidak lagi wujud.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Dusing berkata beliau lega bahawa kebe­naran itu diberikan tetapi berkata ia akan mengambil masa yang lama sambil menegaskan gereja hanya mahukan penyelesaian yang adil. — Bernama