NGO diberi tempoh hingga hujung tahun daftar maklumat atas talian

0

KAPIT: Seramai 32 wakil pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bahagian Kapit dan Daerah Song mengambil bahagian dalam Kursus Atas Talian e-Roses, baru-baru ini.

Kursus sehari yang dianjur Pendaftar Pertubuhan (ROS) Cawangan Negeri Sarawak itu berlangsung di PCware, Pusat Komersil Taman Megah.

Fasilitator kursus, Giden Dayos dari ROS, Kuching berkata, kursus bertujuan memberi bimbingan kepada peserta untuk mengisi maklumat dan penyata akaun persatuan masing-masing atas talian atau ‘online.’

“Ini adalah polisi ROS supaya melakukan secara atas talian memandangkan kerajaan sedang berusaha ke arah pentadbiran mengurangkan penggunaan kertas,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan semua NGO yang didapati masih gagal mengisi maklumat, boleh dikenakan tindakan selepas tempoh hingga hujung tahun ini tamat.

“NGO telah dimaklumkan mengenai tempoh lanjutan sehingga hujung tahun ini bagi mengisi maklumat atas talian.

Mereka yang gagal berbuat demikian akan diambil tindakan,” tegasnya.

Selain itu, turut diadakan taklimat mengenai program atas talian ROS, peserta juga diajar membuka akaun untuk persatuan mereka dan cara memasukkan maklumat dan penyata secara atas talian.