Tumpu usaha latih tenaga kerja teknikal, mahir

0

UNTUK SCORE: Tun Taib dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib menyaksikan pelatih CTE membuat demonstrasi latihan, semalam. Turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang (empat kiri) dan Morshidi (tiga kiri).

Kerajaan dan swasta harus berganding bahu untuk melahirkan modal insan dikehendaki industri

Oleh Jessica Jawing //

SANTUBONG: Kerajaan kini perlu mengikut jejak sektor swasta menumpukan usaha melatih tenaga kerja teknikal dalam melahirkan modal insan berkemahiran.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib berkata, kini sudah tibanya kerajaan negeri membuat langkah berkenaan memandangkan permintaan bagi tenaga kerja kemahiran teknikal amat diperlukan terutama dalam pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tun Taib berkata di negeri ini, usaha latihan teknikal selalunya bermula daripada sektor swasta misalnya firma besar seperti Shell di mana mereka menumpu perhatian melatih tenaga kerja untuk mengisi peluang pekerjaan yang dikehendaki mereka.

“Bagaimanapun, kita tidak harus membiarkan usaha menyediakan latihan teknikal kepada sektor swasta sahaja tetapi sudah tiba masanya bagi kerajaan khasnya kerajaan negeri bertindak atas keperluan khas ini.

“Ia termasuk melatih lebih ramai tenaga kerja dalam bidang berkenaan terutama bagi memenuhi peluang pekerjaan berkemahiran di pembangunan SCORE,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Centre of Excellence (CTE) yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di premis CTE di Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

Tun Taib memberitahu, pada satu ketika dahulu SCORE khasnya di Bintulu menumpukan kepada industri berat tetapi kini ia juga sudah beralih kepada industri yang memerlukan tenaga kerja separa mahir.

“Kita ternyata bukan sahaja memerlukan tenaga kerja bagi industri berat seperti penekanan sebelum ini tetapi juga memerlukan tenaga kerja separa mahir untuk menghasilkan bahan-bahan pengilangan,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, CTE yang dirasmikan itu amat bertepatan dalam usaha Sarawak melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk memenuhi peluang pekerjaan di SCORE.

“Usaha antara swasta dan kerajaan ini akan memperbanyakkan pelatih serta belia mendapat peluang serta merebut pekerjaan yang ada terutama di Bintulu dan kawasan lain.

“SCORE mempunyai lebih 300,000 peluang pekerjaan pada tahun 2030 dan ini menunjukkan keperluan tenaga kerja kita dalam bidang latihan teknikal bertambah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani yang juga Pengerusi CTE dalam ucapannya berkata, CTE diwujudkan bagi memenuhi permintaan dan bekalan tenaga kerja mahir tempatan.

Katanya, menurut kajian yang dijalankan sebelum ini dilaporkan antara tahun 2016 hingga 2020, Sarawak berkemungkinan mengalami kekurangan antara 27,000 jurutera mekanikal.

“Malahan menjelang tahun 2020 kita juga hanya mampu melahirkan 3,150 orang juruteknik elektrik dan elektronik.

“Statistik itu menunjukkan bahawa semua institusi teknikal di Sarawak perlu berusaha untuk mencapai sasaran melahirkan 350,000 tenaga kerja mahir,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program usaha sama antara Yayasan Sarawak dan Shell Malaysia serta MoU antara CTE dan PETRONAS, SACOFA, Sarawak Energy Berhad, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Press Metal Bhd dan Brooke Dockyard.