FTSD sasar penyertaan bukan Bumiputera

0

KUCHING: Akademi bola sepak ‘First Touch Soccer Development’ (FTSD) mahu melebarkan sayap dengan menyasarkan penyertaan pelatih dari kaum bukan Bumiputera.

Penasihat FTSD Iskandar Sharkawi berkata beliau sangat gembira dengan sambutan menggalakkan terhadap akademi tersebut sejak ia dirasmikan pada tahun lepas.

“Sambutan terhadap akademi ini sangat memberangsangkan di mana ketika ini kita telah mendaftar kira-kira 160 pelatih berusia dari enam hingga 19 tahun,” katanya semasa majlis ringkas penyerahan jersi tajaan beliau kepada pasukan futsal Utusan Borneo dan Borneo Post semalam.

“Selain itu, kita juga menyasarkan untuk mengambil pelatih dari kaum bukan Bumiputera bagi mempromosi sukan bola sepak kepada golongan ini,” ujar Iskandar yang juga Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Satok.

Jelasnya, penubuhan akademi FTSD merupakan sebahagian daripada usaha untuk membangun dan mengembangkan sukan bola sepak negeri.

Akademi FTSD dikendalikan oleh Azman Mohamad Edi sementara bekas pemain Sarawak Sulaiman Mustanir dan Jahar Nor bertindak selaku jurulatih.

Latihan diadakan setiap Ahad dari jam 8 hingga 10.30 pagi di padang SMK Petra Jaya dan setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM50.