Penan ketinggalan jika bersama pembangkang

0

APA KHABAR?: Jabu (kanan) bertanya khabar dan berbual mesra dengan penari suku kaum Penan yang dibawa khas dari Ulu Baram untuk mengadakan persembahan di majlis tersebut.

Semakin ramai sokong kerajaan namun masih ramai berfikiran negatif, menentang kerajaan: Jabu

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Jika masyarakat Penan memilih untuk terus bersama pembangkang dan terus ‘melarikan’ daripada kerajaan, maka mereka akan terus ketinggalan di belakang dan dalam arus pembangunan negara.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata walaupun semakin ramai kaum Penan sudah sedar dan kembali ke pangkuan kerajaan namun masih ramai lagi di kalangan mereka di luar sana yang berfikiran negatif dan menentang kerajaan.

“Malah setiap kali ada menteri atau wakil rakyat kerajaan datang ke kawasan dan perkampungan Penan, mereka termasuk ketua kaumnya akan melarikan diri ke dalam hutan.

“Apabila kerajaan cuba membawa masuk projek pembangunan ke kawasan kaum Penan, kemudian kaum Penan pula melakukan sekatan di sana-sini, tidak membenarkan kerajaan masuk dan membangunkan mereka,” katanya.

Hakikatnya menurut Jabu, bukan kerajaan yang mahu meminggirkan kaum Penan tetapi kaum itu sendiri yang mengelak dan melarikan diri daripada kerajaan.

Jabu berkata demikian semasa berucap pada perasmian Bengkel Pengendalian Mahkamah Bumiputera Untuk Ketua Masyarakat/Ketua Kaum Komuniti Penan, Sarawak di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Menurut Jabu, kerajaan tidak pernah menyalahkan kaum Penan kerana sedar mereka hanyalah ‘mangsa’ yang diperguna dan diperalatkan oleh pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari luar negara yang cemburu melihat kaum itu maju dan membangun.

Jabu yang kesal dengan tindakan pembangkang yang tergamak membawa NGO dari luar negara untuk menghasut kaum Penan, berkata setiap kali adanya sekatan yang dilakukan kaum Penan, maka akan ada orang PKR dan DAP kelihatan di kalangan masyarakat Penan, mempengaruhi mereka dengan idea-idea negatif, menentang kerajaan.

“Jika masyarakat Penan terus memilih untuk bersama pembangkang dan membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh NGO, maka masyarakat Penan akan terus mundur dan ketinggalan di belakang dengan idea-idea negatif tersebut,” jelas beliau.

Sebaliknya kerajaan, akan terus prihatin dan berusaha membangunan kaum Penan dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan bagi membolehkan mereka memulakan kehidupan baharu dan menikmati apa yang telah dinikmati oleh bangsa-bangsa lain yang lama menerima dan bekerjasama dengan kerajaan, jelasnya.

Selain mengagihkan 10 ekar tanah untuk penanaman getah bagi setiap keluarga kaum Penan yang bertujuan memperbaiki taraf ekonomi mereka, kerajaan turut membina Pusat Khidmat Kaum Penan di tujuh pusat lokasi  berkenaan di utara negeri ini termasuk Belaga dan jumlah tersebut akan ditambah jika kaum Penan terus memberi kerjasama dan menerima pembangunan yang dibawa oleh kerajaan untuk mereka.

“Pusat khidmat ini yang dibina berhampiran kawasan dan perkampungan kaum Penan, menempatkan prasekolah dan sekolah-sekolah untuk anak-anak Penan serta penduduk sekitar dan bagi mendidik kaum Penan mengenai dunia ICT,” tambahnya.

Malah pada masa depan kerajaan bercadang membina Mahkamah Adat Bumiputera Kaum Penan, yang membolehkan mereka menyelesaikan kes-kes kecil termasuk berkaitan perkahwinan, tanpa perlu lagi turun ke Miri dan menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

Mengenai Bengkel Mahkamah Adat yang dikhususkan untuk kaum Penan, Jabu berharap melalui pelaksanaannya kelak, pentadbiran dalam masyarakat Penan akan lebih tersusun dan sistematik, dengan mengguna pakai adat istiadat kaum Penan di negeri ini.

Seramai 83 peserta terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum Penan dan masyarakat Penan yang berminat, mengambil bahagian dalam bengkel tersebut yang berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di sini.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Kaum Penan) Datuk John Sikie Tayai, Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak Datuk Nillie Thangai serta Pengerusi Persatuan Penan Petipun Malaysia merangkap Ketua Masyarakat Penan Sarawak Datuk Hassan Sui.