Bantuan sewajarnya diberikan kepada balu Meling

0

BINTULU: Bantuan sewajarnya diberikan kepada balu mendiang Meling Mula, mangsa tragedi pesawat MH17 iaitu Simbut Kedit, 39, dan tiga anaknya, Maryline Sindun, 18, Benedict Bana, 15, dan Gabriel, 8, dari segi bantuan penyediaan tempat kediaman dan perbelanjaan sekolah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagaimana membantu keluarga terbabit terutama dari segi penyediaan rumah dan persekolahan anak-anak mendiang.

“Saya sebagai wakil rakyat di Betong dan suadara-mara mereka berusaha mencari cara supaya mereka dapat dibantu sekali gus meneruskan kehidupan dan mendapat tempat kediaman lebih baik selepas suami yang juga bapa mereka meninggal dunia,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian mendiang Meling Mula di Tanah Perkuburan BDA Batu 2, di sini semalam.

Anak sulung mendiang, Maryline Sindun menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada November ini.

“Saya mewakili ahli keluarga mendiang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia kerana berjaya membawa jasad mendiang balik ke sini dan diberi penghormatan tinggi,” katanya.

Uggah berkata, ini menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cukup prihatin kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, peristiwa itu tidak dapat dilupakan dan kita melihat bagaimana jentera kerajaan membantu keluarganya (mendiang) dan menghargai segala usaha itu.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak walaupun kita menunggu selama dua bulan, tetapi akhirnya tiba juga (jasad mendiang) dan kita memahami beberapa masalah yang dihadapi untuk membawa jasad itu ke Sarawak,” kata Uggah sambil menambah beliau adalah dari rumah panjang yang sama dengan mendiang.

Mendiang Meling adalah penduduk dari Rumah Wilson Begat Bekir, Penom, Hulu Paku Betong.