Empat lelaki diberkas dan barangan jenayah dirampas

0

BANTU SIASATAN: Ketua kumpulan terbabit dibawa keluar dari rumahnya selepas siasatan dilakukan oleh Unit K9.

Lebih 10 senjata api dirampas, beberapa bilah pisau, empat motosikal dan serbuk dipercayai dadah dirampas

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Polis menahan empat lelaki serta merampas lebih daripada 10 senjata api, beberapa bilah pisau, empat motosikal dan serbuk dipercayai dadah daripada suspek di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Kamal Kordi yang mengesahkan tangkapan ketika dihubungi semalam, berkata polis masih menyiasat kes tersebut.

Penangkapan suspek terbongkar apabila seorang ahli perniagaan membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang sekumpulan lelaki di Jalan Salim-Stabau di sini.

Mangsa yang berusia 39 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Ah Huat pada jam 9 malam kelmarin sambil memberitahu mangsa bahawa dia akan pergi ke rumahnya.

Apabila mangsa tiba di rumahnya kira-kira tengah malam, seorang lelaki terus menangkapnya sambil seorang lagi mengacukan pisau dan dua suspek lain bersenjatakan taji ayam.

Suspek-suspek terbabit kemudian mengikat tangan mangsa sambil menutup matanya dengan sehelai kain sebelum membawa mangsa keluar dari keretanya.

Tiga suspek dikatakan menolak mangsa ke dalam sebuah sungai berdekatan tetapi mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Melihat tindakan mangsa berjaya melepaskan diri, salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arahnya tetapi tidak mengena sasaran.

Mangsa berjaya berenang menyembunyikan diri dan apabila mangsa mendapati mereka beredar dari kawasan terbabit, mangsa meminta bantuan rakan-rakannya menghantarnya ke sebuah hospital swasta.

Mangsa turut dikatakan mengalami kecederaan meng啊akibatkan sebanyak 40 jahitan di kepalanya.

Bertindak atas laporan dibuat mangsa, polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Jalan Aping, di sini terletak dalam kawasan Jalan Salim-Stabau jam 4 pagi.

Polis dikatakan terpaksa memecah masuk pintu rumah terbabit selepas berjaya memanjat pagar elektronik di luar rumah itu.

Selepas memecah masuk, polis berjaya menangkap salah seorang suspek dan membawa polis menangkap tiga rakannya yang lain termasuk ketuanya yang turut tinggal bersebelahan.

Menurut polis, mereka mendapati ketua geng itu menyembunyikan dirinya di siling bersama-sama tiga bagasi mengandungi pelbagai senjata dan pisau.

Antara senjata api dirampas, ada yang jenis lama.

Pagi semalam, polis Unit K9 membawa ketua kumpulan itu kembali ke rumahnya untuk membantu siasatan.