Tuai rumah Bawang Assan tidak sokong kerajaan akan dipecat

0

SIBU: Ketua kaum dan ketua masyarakat kawasan N.47 Bawang Assan yang didapati tidak menyokong kerajaan mungkin akan ditamat perkhidmatan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit berkata, ini kerana pelantikan semula ketua kaum seperti tuai rumah terpulang kepada budi bicara wakil rakyat atau menteri terbabit.

“Justeru, di Bawang Assan ini, pelantikan semula ketua kaum atau tuai rumah bergantung kepada wakil rakyat di sini, Dato Sri Wong Soon Koh,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Ketua Kaum N.47 Bawang Assan, kelmarin.

Majlis dihadiri ADUN Bawang Assan merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuan, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Andrew Wong serta yang lain.

Menurut Andrew, 93 tuai rumah dari N.47 Bawang Assan telah menyuarakan sokongan kepada wakil rakyat mereka sementara enam menolak sokongan terhadap Wong.

Beliau juga menyuarakan rasa kesal dengan keenam-enam tuai rumah itu yang membelakangi wakil rakyat tersebut meskipun sebelum ini mereka dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Andrew turut mengingatkan semua ketua kaum di Bawang Assan agar tidak ragu-ragu dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta wakil rakyat yang dilantik.

Ini kerana katanya, UPP secara dasarnya diterima masuk ke dalam keluarga BN serta menjadi BN Plus.

“Jangan mendengar khabar angin pihak tertentu yang mengatakan UPP bukan dalam BN,” katanya sambil menggesa rakyat di Bawang Assan supaya menyokong wakil rakyat mereka.