18 finalis berentap pada Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Ahad ini

0

KUCHING: Kehangatan Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Kebangsaan 2014 semakin terasa bagi 18 finalis yang akan berentap merebut gelaran juara pada Ahad ini (12 Oktober), jam 9 malam di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini.

Penerbitnya Mohd Yusni Mohd Ali berkata, kesemua peserta akhir kini sedang sibuk menjalani latihan dengan jadual yang ketat menjelang pertandingan akhir itu nanti.

“Latihan akan berlangsung dengan sangat mencabar dan untuk itu saya menasihati para finalis menggunakan masa yang tinggal dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media di The Banquet semalam.

Tambahnya, setiap peserta perlu melalui dua peringkat iaitu solo dan duet bersama pasangan masing-masing.

“Pada tahun sebelumnya, mereka hanya mempersembahkan lagu duet sebaik selepas lagu solo.

“Berbeza pada tahun ini, kita akan mengasingkannya kepada dua bahagian,” jelasnya.

Terdahulu, RTM telah menjalankan uji bakat pada April lalu meliputi 32 lokasi di seluruh Sarawak.

Walaupun kesemua finalis adalah Melayu, Urus Setia Bintang Kecil RTM Abdul Khalid Suut berkata, pertandingan ini mempelawa semua kaum untuk menyertainya malah seorang peserta lelaki Cina dari Serian berjaya melangkah ke peringkat akhir bagi Zon Sarawak 2014.

Walaupun peringkat kebangsaan, penganjur pada kali ini turut mempelawa negara jiran seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura untuk menyertainya.

Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia mula menyertai pada 2008 manakala Singapura bermula pada 2010.

Pertandingan peringkat akhir ini nanti bakal diiringi oleh D Aspirasi RTM Kuching diketuai Eugene Clifford Suboh.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 (RM13,000 untuk lelaki/RM7,000 untuk wanita), kamera Canon DSLR dan telefon pintar kepada kedua-duanya.

Sementara itu, naib juara bakal membawa pulang RM15,000 (RM10,000/RM5,000) dan ketiga menerima RM10,000 (RM6,000/RM4,000).

Peserta tidak berjaya tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang hadiah sagu hati berupa RM3,000 manakala RM4,000 kepada pasangan yang memenangi persembahan terbaik.

Semua pemenang juga akan membawa pulang piala dan sijil penyertaan.

Peminat yang tidak dapat hadir ke stadium tidak perlu kecewa kerana pertandingan akhir ini akan ditayangkan secara langsung di TV2 pada jam 9 malam manakala acara karpet merah pula dapat disaksikan di saluran interaktif TVi dari jam 7.30 hingga 8 malam.

Pertandingan ini juga akan disiarkan di SARAWAKfm dan radio online di rtmsarawak.gov.my.

Bukan itu sahaja, hadiah menarik menanti peserta yang menyaksikan pertandingan di stadium selain persembahan oleh artis istimewa seperti Ning Baizura, Misha Omar, Nasir Wahab, Azahel (AF2013) dan pemain biola, Nisa Addina.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Pengarah Penyiaran Zon Sarawak Jamel Seman dan Timbalan Pengarah (Bahagian Radio) Faridah Sulong.