Belanjawan 2015 diharap utamakan pembangunan belia: Karim

0

KOTA SAMARAHAN: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap Belanjawan 2015 turut menitikberatkan terhadap pembangunan belia.

“Saya berharap akan melihat lebih banyak dana diperuntukkan bagi aktiviti belia kerana belia adalah harapan kita pada masa depan.

“Untuk itu, kita perlu mengatur aktiviti yang baik kepada mereka agar masa depan negara dan masyarakat menjadi lebih bagus,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas merasmikan Sambutan Hari Habitat Sedunia 2014 sempena 30 Tahun Gemilang Majlis Daerah Samarahan.

Pada masa sama, Karim yang juga ADUN Asajaya turut berharap agar lebih banyak peruntukan disalurkan ke Sarawak demi pembangunan yang lebih mapan.

“Ini kerana di Sarawak, masih banyak prasarana terutama jalan raya yang perlu ditambah dan dinaik taraf,” katanya.

Selain itu, beliau berkata negeri ini turut memerlukan tambahan peruntukan dari segi perumahan terutama bagi pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM).

“Satu daripada perkara yang membingungkan masyarakat sekarang ialah keupayaan untuk memiliki rumah kerana harga rumah tahun demi tahun meningkat dan kebanyakan rakyat tidak mampu membeli rumah mengikut kadar pasaran.

“Jadi, mereka ini perlu dibantu menerusi rancangan yang rapi daripada kerajaan.

“Justeru, saya berharap bajet untuk RMM ditambah bagi Sarawak kerana kita memang sangat memerlukan peruntukan tersebut untuk membangunkan rumah”.