Bukan mudah menyatukan masyarakat bandar

0

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

Penyatuan segenap aspek harus dilaksana agar semangat perpaduan dapat dihidupkan semula

MIRI: Tidak mudah menyatukan masyarakat bandar pelbagai kaum dan agama, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksana, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat  Dato Sri Wong Soon Koh.

Jelasnya, penyatuan segenap aspek harus dilaksana agar semangat perpaduan dapat dihidupkan semula seperti zaman sebelumnya.

“Kita akui bukan satu kerja mudah menyatukan masyarakat terutama di kawasan bandar tetapi kita percaya ia sesuatu yang tidak mustahil untuk dilaksana dan dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada  Seminar Pembangunan Komuniti di salah sebuah hotel di sini semalam.

Menurutnya, Sarawak memang tidak dapat dinafi mempunyai perpaduan masyarakat yang kukuh walaupun berbilang kaum, namun ia tidak boleh dipandang remeh.

“Jangan pandang ringan keharmonian dan perpaduan kaum sedia ada, apa yang kita lakukan ialah mengekalkan ia supaya tidak rapuh,”  katanya.

Oleh sebab itu, katanya kementeriannya menganjurkan pelbagai program melalui pendekatan kebudayaan, aktiviti sukan dan  penglibatan  belia.

Melalu program dirangka, satu cara hidup baharu dalam kalangan masyarakat bandar dapat dicapai terutama melalui interaksi, pergaulan dan cara berkumpul beramai-ramai, kata Wong.

Jelasnya, melalui cara ini masyarakat dapat berkongsi nilai antara satu sama lain sama lain malah turut merapat hubungan antara masyarakat dengan kerajaan.

“Inilah yang kita mahu iaitu semua pihak dapat berkongsi dan mempunyai nilai sama antara satu sama lain,” ujarnya.

Sekitar 300 peserta terdiri daripada kaunselor, pegawai tinggi kerajaan, ahli pertubuhan dan persatuan, profesional serta ahli akademik menyertai seminar untuk kawasan zon utara Sarawak itu.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Masyarakat Datuk Peter Nansian Ngusie dan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kerajaan Tempatan & Pembangunan Masyarakat Datu Dr Penguang Manggil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai dan Residen Miri Antonio Kahti Galis.