‘Ibarat dalam mesin pengisar’

0

Oleh Ruzaini Zulkifli //

Cerita kru bot tempur CB204 yang terkandas lebih 32 jam di lautan

Keluarga Sulahjji tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi sebaik tiba di jeti PTKK itu kelmarin.

KOTA KINABALU: “Saya berasa kapal kami seolah-olah dalam mesin pengisar sebaik ombak setinggi 3 meter mulai membadai bot,” demikian kata kru bot CB204 Laskar Kanan Sulhajji Daah ketika menceritakan pengalamannya apabila terkandas bersama enam lagi rakan setugas dalam kejadian di Pulau Mengalum, Ahad lalu.

Sulahjji, 34, berkata ketika itu dia bersama rakan lain hanya mampu memanjatkan doa kepada Illahi dan berserah kepada nasib yang bakal menimpa mereka tatkala mengharungi detik mencabar berkenaan selepas terkandas selama 32 jam.

Beliau yang berasal dari Batu 2, Tawau berkata, ketika itu dia hanya mampu meronta di dalam hati selepas menyangkakan tiada bantuan daripada pelbagai pihak, namun kerana mengingatkan kedua anaknya Aidil, 5, dan Adam, 7, segala tanggapan negatif dibuang jauh bagi terus menghadapi dugaan yang menimpa mereka.

“Ketika kejadian itu, yang mampu dikatakan adalah kami tidak pernah bertemu pancaran matahari kerana cuaca begitu buruk ditambah lagi ombak tinggi melambung sehingga ada ketikanya bot dinaiki berpusing-pusing dihanyutkan arus deras air laut.

“Kami hanya mampu bertawakal dan mengingatkan nasib anak serta isteri bagi menguatkan semangat untuk menempuh dugaan berkenaan,” katanya di ketika ditemui kelmarin.

Sulahjji berkata, keadaan bertambah genting apabila air laut mulai memasuki bot berkenaan sehingga mengakibatkan mereka mulai panik, namun berkat kesungguhan dan kepimpinan Komander Bot CB204 Leftenan (Lt) Azri Bakar, ketujuh-tujuh mereka akhirnya berjaya tiba dengan selamat di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sepanggar kelmarin.

Sementara itu, isteri Sulahjji, Ahainie Maidin, 37, berkata, dirinya tidak putus-putus mendoakan keselamatan suami tercinta dan hanya linangan air mata sahaja mampu meredakan rasa khuatir dia berserta anak-anak sebelum ini.

“Berkat doa kami sekeluarga, Abah (panggilan Sulahjji) akhirnya berjaya tiba dengan selamat bersama rakan yang lain selepas mengalami musibah itu.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada semua pihak termasuk TLDM sendiri yang banyak memberikan bantuan dalam usaha pencarian suami saya sehingga selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Leftenan (Lt) Azri berkata pengalaman terpaksa menjamah sebungkus roti, buah epal dan sekotak botol air mineral bersama enam lagi kru tidak akan dilupai sampai bila-bila.

“Kami terpaksa bergilir untuk makan bagi mendapatkan tenaga yang mencukupi selepas bot dibadai laut bergelora lebih 32 jam.

“Keadaan bertambah teruk apabila terpaksa berada di atas bot dalam keadaan laut bergelora pada tahap empat dan ombak kuat mencecah ketinggian tiga meter,” katanya.

Azri berkata mereka hanya membawa makanan utama (nasi) bagi perjalanan selama sehari menuju ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, sebelum kerosakan itu terjadi.

“Sepanjang berada di lautan, kami mula berkongsi makanan selama hampir dua hari sebelum kami ditemui Kapal Diraja (KD) Ganas,” katanya.

Katanya, kehilangan perhubungan komunikasi itu berlaku dalam cuaca buruk di sekitar Pulau Mengalum pada jam 11.15 pagi.

“Alat radio dan navigasi yang khusus kepada talian untuk TLDM semuanya rosak. Apa yang berfungsi hanyalah alat telekomunikasi untuk saluran kepada kapal lain.

“Saya mencuba setiap masa sebelum berjaya menghubungi sebuah kapal persiaran antarabangsa yang melalui kawasan berkenaan jam 12.30 tengahari pada Isnin,” katanya.

Menurut Azri, kesempatan itu digunakan untuk meminta pertolongan dengan memaklumkan lokasi mereka selain digunakan sebagai saluran untuk menghubungi mana-mana kapal TLDM yang berdekatan.

Situasi itu membolehkan KD Ganas menerima panggilan kecemasan daripada bot CB90 pada jam 3 petang dan Azri memaklumkan bahawa bot menghadapi masalah enjin dan steering gear, manakala semua warga selamat namun kelaparan.