Jawatankuasa siasatan akan ditubuh

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

ROSLAND bersama lima kru yang terselamat menunjukkan isyarat bagus sejurus tiba di pangkalan PTKK Se-panggar.

KOTA KINABALU: Satu jawatakuasa siasatan khas akan ditubuh bagi mengkaji secara mendalam punca sebenar insiden bot tempur CB204 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkandas di perairan Mengalum, baru-baru ini.

Panglima Wilayah Laut Dua Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata, jawatankuasa itu antara lain bertujuan mengesan dengan lebih terperinci kerosakan, masalah teknikal serta alat perhubungan yang terputus akibat insiden berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu dedahkan buat ketika ini sementara menanti jawatankuasa penyiasat terbabit menjalankan kerja-kerja kajian dan siasatan.

“Namun begitu, kita akan menjalankan pemeriksaan rapi ke atas bot-bot tempur yang sedia ada (selain CB204) jika berlakunya kerosakan.

“Tetapi sebelum insiden ini terjadi, kita telah melaksanakan pemeriksaan ke atas CB204 dan begitu juga bot tempur lain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kehadiran lima kru CB204 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sepanggar kelmarin.

Kelima-lima anggota yang terlibat ialah Komander Bot CB90 Leftenan (Lt) Azri Bakar, 27, Bintara Muda Ince a/k Ewin, 40, Bintara Muda Nor Azuan Ariffin, 34, Laskar Kanan Sulhajji Daah, 34, dan Laskar Kanan Azhry Maani, 30.

Sebelum itu, dua kru iaitu Bintara Kanan Charles Cristopher Muni, 39, dan Bintara Muda Steve Hudson Miso, 36, berjaya dibawa balik lebih awal menggunakan helikopter Super Lynx pada jam 6.13 petang Selasa lepas.

Menurut Rosland, insiden terbabit sedikit sebanyak meninggalkan kesan mendalam buat warga PTKK sendiri dalam menghadapi tugasan seharian di perairan negara bagi mempertahankan kedaulatan negara yang disayangi.

“Terus terang saya katakan, kita berasa amat khuatir sejak tiga hari lepas mengenang nasib ketujuh-tujuh anak kapal mengharungi detik getir ketika berhadapan musibah itu.

“Bagaimanapun, saya hanya mampu bersyukur sebaik dimaklumkan bahawa bot tempur itu berjaya dikesan Kapal Diraja (KD) Ganas pada Isnin lalu dan saat ini, kegembiraan itu ditambah dengan kehadiran mereka di hadapan mata,” katanya sambil merakamkan penghargaan buat rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan kru-kru terlibat.

Bagi Pegawai Pemerintah KD Ganas Leftenan Komander Mohd Fakhrul Azizi Che’ Nah, tiada apa lagi yang mampu digambarkan ekoran kejayaan pihaknya dalam operasi menyelamat dan menunda bot tempur berkenaan beberapa hari lalu.

“Selama lapan tahun berkhidmat dalam TLDM, ini merupakan misi paling sukar kerana kami bukan hanya berdepan cuaca buruk dengan keadaan ombak bergelora mencecah empat meter, tetapi turut berdepan kesukaran untuk berkomunikasi,” katanya.

Katanya, KD Ganas yang diperkuatkan 32 anak kapal terpaksa menunda bot tempur CB204 selama 21 jam dengan purata kelajuan enam knot.

Terdahulu, insiden yang mendapat tumpuan ramai itu melaporkan tujuh anggota yang menaiki bot tempur jenis CB90 dengan menggunakan nombor panji TLDM CB204 hilang selama 32 jam di perairan Pulau Mengalum sejak Ahad lepas.