Pendidik harus berfikir secara kritis dan kreatif

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Mereka harus dibekal kemahiran sedemikian sebelum memupuk kemahiran sama di kalangan murid

SIDANG MEDIA: (dari kiri) Rosey, Fatimah dan Rodziah pada sidang media Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-9 di Baitulmakmur, Kuching, semalam.

KUCHING: Barisan pendidik harus dibekalkan dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif sebelum memupuk kemahiran yang sama di kalangan murid.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, pemupukan aspek kemahiran berfikir di kalangan guru memainkan peranan penting dalam menjayakan sistem pengajaran dan pembelajaran murid.

Selari dengan hasrat itu, Fatimah berkata, satu konvensyen pendidikan prasekolah selama dua hari akan dianjurkan bagi memberi peluang kepada pendidik dan pengamal disiplin pendidikan awal kanak-kanak untuk berkongsi pengetahuan dengan barisan panel jemputan yang akan membentangkan kertas kerja berkaitan pada konvensyen itu kelak.

“Kita mahu anak-anak dibekalkan dengan kemahiran berfikir yang kritis dan kreatif.

“Justeru, ia harus dimulakan daripada akar umbi iaitu dengan membekalkan pendidik serta pengamal disiplin pendidikan awal kanak-kanak dengan pengetahuan yang meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-9 di pejabatnya di Baitulmakmur di sini, semalam.

Konvensyen anjuran Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga dengan kerjasama Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) itu dijadual diadakan esok, 10 Oktober hingga 12 Oktober.

Diadakan di Hotel Imperial di sini, ia dijangka disertai kira-kira 500 peserta daripada kalangan agensi pelaksana di bawah MPAKS seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Selain itu, ia turut disertai  peserta daripada Yayasan Sarawak, Sedidik Sdn Bhd, HIKMAH, Institut Pendidikan Guru, Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Sarawak, tadika dan taska swasta serta banyak lagi.

Fatimah yang juga pengerusi MPAKS berkata, sepanjang konvensyen itu berlangsung, sebanyak empat kertas kerja akan dibentang merangkumi pelbagai tajuk yang menyentuh budaya berfikir di kalangan kanak-kanak mahupun tenaga pelajar.

Pada masa sama katanya, peserta juga akan didedahkan dengan sesi perkongsian bengkel menerusi 10 kumpulan yang mengandungi 50 peserta diwakili setiap kumpulan.

“Para peserta konvensyen itu kelak akan didedahkan dengan pengetahuan menerusi pembentangan kertas kerja serta kerja kumpulan dalam perkongsian bengkel.

“Menerusi konvensyen ini, saya yakin dan percaya, kita berupaya melahirkan barisan pendidik yang mempunyai kemahiran berfikir yang baik untuk diaplikasi di dalam kelas di kalangan anak murid.

“Ia juga diharap dapat melahirkan murid yang mampu berfikir sendiri dan tidak mengharapkan konsep pembelajaran ‘Spoon Feeding’ ,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka menyempurnakan upacara penangguhan konvensyen tersebut yang dijadualkan pada 12 Oktober (Ahad) ini.

Turut hadir Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi.