Bahagian baharu Serian dipertimbang secara positif

0

TRADISI: Adenan menyaksikan upacara adat tradisi masyarakat Bidayuh sebagai tanda menyambut kedatangan tetamu ke Simposium Bidayuh 2014 di DBNA, Kuching semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

KM akan bincang dengan setiausaha kerajaan negeri bagaimana ia dapat dilaksana secara pentadbiran

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan mempertimbangkan secara positif permohonan untuk mewujudkan bahagian baharu Serian.

Perkara ini dinyatakan oleh beliau pada sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Bidayuh 2014 di Dewan Serba Guna Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini semalam.

Bagi tujuan itu katanya, beliau akan membincangkan perkara berkenaan dengan setiausaha kerajaan negeri mengenai bagaimana ia dapat dilaksana secara pentadbiran.

“Sebelum kita mewujudkan bahagian baharu, kita perlu mengambil kira beberapa perkara seperti susunan pentadbiran, sempadan, populasi dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

“Sama seperti yang telah kita lakukan di Mukah dan bahagian-bahagian lain, perkara yang saya nyatakan ini merupakan prosedur yang harus dilalui dan begitu juga halnya dengan Serian.

“Untuk mewujudkan bahagian baharu ia tidak boleh dilakukan begitu sahaja tetapi saya akan mempertimbangkan secara positif permohonan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan menyatakan rasa bangga beliau melihat kejayaan DBNA menubuhkan Kompleks DBNA yang menjadi simbolik dan identiti masyarakat Bidayuh.

Malah beliau turut menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh DBNA dalam membantu memudahkan kerja-kerja penyukatan ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa semua tanah yang terbukti adalah tanah NCR akan dikeluarkan surat tanah tanpa rasa sangsi.

“Saya amat berbangga dijemput oleh DBNA untuk menyampaikan amanat pada simposium ini.

“Meskipun  berbeza fahaman politik, namun para pemimpin dan masyarakat Bidayuh tetap bersatu hati apabila ia melibatkan soal kepentingan masyarakat Bidayuh sendiri.

“Inilah semangat yang amat saya sanjungi dalam kalangan masyarakat Bidayuh dan saya harap semangat ini akan kekal buat selama-lamanya,” ujar Adenan.

Dalam pada itu Simposium Bidayuh 2014 merupakan anjuran DBNA dengan kerjasama Persatuan Graduan Bidayuh (BGA).

Bertemakan ‘Samah-samah Ta’ Mujur’ yang bermaksud sama-sama kita maju, simposium tersebut telah dihadiri hampir 1,000 peserta, terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Turut hadir Penasihat DBNA Dato Sri Michael Manyin Jawong yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan.