Penganjuran muaythai harus mengikut garis panduan, tegas Jumaat

0

KUCHING: Mana-mana kelab atau persatuan muaythai di Sarawak yang berhasrat untuk menganjurkan kejohanan muaythai diingatkan agar mendapatkan persetujuan daripada Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) terlebih dahulu.

Presidennya, Jumaat Ibrahim berkata langkah itu bagi memastikan penganjur mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan Pesuruhjaya Sukan Negeri Sarawak (PJS).

Sehubungan itu, PMNS mengadakan promosi di seluruh negeri bagi mendedahkan kepada orang ramai khususnya persatuan dan kelab muaythai tempatan berhubung garis panduan penganjuran yang betul.

“PMNS telah dilantik sebagai badan induk yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan muaythai negeri ini,” katanya di sini semalam.

“Justeru, mana-mana pihak yang berhasrat menganjurkan pertandingan muaythai perlu merujuk kepada PMNS bagi memastikan penganjuran tersebut mengikut garis panduan yang ditetapkan PMM dan PJS.

“Kita tidak mahu nama baik PMNS terjejas jika berlaku sebarang penipuan dalam penganjuran atau peserta mengalami kecederaan yang tidak sepatutnya kerana penganjur tidak berlandaskan peraturan atau kaedah yang betul,” tambah beliau.

Menurut Jumaat, PMNS telah menerima pekeliling daripada PMM dan PSJ berhubung garis panduan yang perlu diikuti penganjur semasa menganjurkan sebarang kejohanan muaythai.

Pada masa yang sama, beliau menggesa persatuan dan kelab muaythai di Sarawak agar segera berdaftar dengan PMNS bagi memudahkan mereka menjelaskan peraturan-peraturan tersebut dengan lebih terperinci.

Ketika ini, ahli-ahli gabungan dari Kuching, Miri dan Bintulu telah berdaftar dengan PMNS.

“Kita sedia membantu mana-mana persatuan atau kelab yang berhasrat untuk menganjurkan pertandingan muaythai.

“Memang objektif utama PMNS memastikan sukan muaythai di Sarawak berkembang dengan lebih maju pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Jawatankuasa Penganjur Pesta Sematan 2014 dengan kerjasama PMNS, Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan agensi berkaitan menganjurkan Kejohanan Muaythai Pesta Sematan 2014 akan diadakan pada 25 Oktober ini di Pekan Sematan.

Pelbagai kategori melibatkan petinju amatur dan profesional akan berlangsung dengan seramai 60 peserta mewakili pelbagai kelab muaythai dari seluruh Sarawak.

Antara lain kejohanan itu bertujuan mempromosi sukan muaythai selain mencungkil bakat-bakat baharu untuk mewakili Sarawak pada masa akan datang.

Acara sampingan yang turut dirancang semasa kejohanan tersebut ialah sesi perjumpaan bersama Presiden PMM, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi bagi membincangkan hala tuju sukan muaythai negara dan cadangan penambahbaikan pelan strategik dan operasi PMM dan PMNS.