Karnival Sukan Rakyat disambut meriah

0

KUCHING: Karnival Sukan Rakyat @ Happy Village yang diadakan di Padang Bola Sepak Kampung Muara Tebas hujung minggu lalu berlangsung meriah dengan disertai penduduk kampung.

Ia dimulakan dengan perlawanan bola sepak antara pasukan All Star FC menentang PIBG SK Muara Tebas yang berkesudahan seri 1-1.

Karnival sehari itu turut dihangatkan dengan acara sukan rakyat serta aktiviti untuk kanak-kanak sekolah dan golongan dewasa.

Antaranya termasuk persembahan tarian poco-poco, silat, pertandingan karaoke, pecah belon dan banyak lagi.

Pengerusi Pertubuhan Khidmat Masyarakat Kuching, Azizah Ayoob hadir menyempurnakan perasmian karnival tersebut.

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat dari pelbagai lapisan umur beriadah dan merapatkan hubungan sesama mereka,” kata Pengerusi Karnival Asrol Bujang.

Menurutnya, budaya seperti itu harus dipupuk agar masyarakat terutama golongan belia menyedari kepentingan bersukan dan beriadah selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Katanya, karnival seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang.