Piala Malaysia: Zainal tetap optimis

0

SHAH ALAM: Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan optimis mengenai peluang skuad kendaliannya pada saingan separuh akhir Piala Malaysia menentang Kedah selepas kehi l anga n dua tonggak utama yang bakal menjalani penggantungan satu perlawanan.

Beliau yakin keputusan cemerlang yang diraih dalam beberapa perlawanan sebelum ini, mampu diterjemahkan pemain skuad ‘Tok Gajah’ pada aksi separuh akhir pertama menentang Kedah, 19 Okt ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dua pemain berkenaan iaitu penyerang, Dickson Nwakaeme dan pemain pertahanan, Damian Delano Stewart dijangka kembali memperkuat skuad ‘Tok Gajah’ pada aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Okt ini.

“Sebelum ini, kita menerima pelbagai dugaan termasuk penjaga gol kita, Mohd Nasril Nourdin dilayangkan kad merah ketika berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuantan tempoh hari…Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang masih tidak berapa sihat terpaksa saya masukkan juga bagi gantikan tempat Mohd Nasril.

“Saya akui kita berdepan tugas berat berdepan Kedah (pada separuh akhir pertama) tanpa ketiadaan dua pemain ini, namun saya yakin para pemain dapat melakukan sesuatu,” katanya kepada pemberita.

Zainal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas aksi suku akhir kedua antara Pahang dan PDRM di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Pahang mara ke separuh akhir selepas menang agregat 3-2 ke atas PDRM manakala Kedah mengejutkan naib juara 2013, Kelantan menerusi kemenangan agregat 4-3 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Dalam pada itu, Zainal Abidin memuji semangat juang yang dipamerkan barisan pemain yang tidak berputus asa walaupun beraksi 10 pemain selepas Damian diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab kerana mengutip kad kuning kedua.

“Alhamdulillah, mereka telah menjalankan tugas dengan baik walaupun separuh masa pertama, corak permainan kita agak terumbang ambing. Saya turut puji (pemain gantian), Mohd Fauzi Rozlan yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada babak terakhir perlawanan,” kata Zainal Abidin.

Sementara itu, penolong jurulatih PDRM, Azman Adnan berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemain skuad ‘The Cops’ walaupun mereka gagal meneruskan kemaraan pada saingan Piala Malaysia, musim ini.

“Saya sendiri akur bahawa kekurangan pengalaman menjadi punca kekalahan kita pada perlawanan ini… walaupun kita tewas, saya bangga dengan aksi yang dipamerkan pemain,” kata bekas pemain kebangsaan era 90-an itu. — Bernama