Bumbung tercabut, siling jatuh

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

KUDAT: Persediaan dua murid yang sedang menghadapi kertas Matematik bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tergendala seketika apabila mereka tercedera selepas terkena kipas, serpihan siling dan kayu yang terjatuh susulan kejadian ribut di Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan, di sini kelmarin.

SEKITAR kawasan bangunan sekolah SK Panudahan yang terjejas teruk ekoran kejadian angin kencang itu pada awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu turut mengakibatkan seorang pengawas peperiksaan mengalami kecederaan sebaik bumbung sekolah di blok B di situ tercabut diterbangkan angin kencang.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip, ketika insiden berkenaan difahamkan seramai 37 orang murid sedang menduduki peperiksaan ulangan UPSR bagi mata pelajaran Matematik.

Beliau berkata, bangunan papan yang dibina pada tahun 1985 itu membabitkan empat buah kelas dan satu bilik pentadbiran.

“Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian berlaku, dua kelas telah digunakan dengan menempatkan seramai 37 murid dan empat pengawas peperiksaan.

“Dua murid lelaki dan seorang pengawas peperiksaan lelaki mengalami kecederaan ringan di bahagian anggota badan selepas terkena serpihan siling dan kipas yang jatuh,” katanya di sini kelmarin.

Murid yang tercedera dikenali sebagai Jil Muin, 12, (cedera di paha) selepas terkena kipas yang jatuh manakala Danielson Danius mengalami kecederaan di tangan kerana terkena serpihan siling.

Sementara pengawas peperiksaan Jamil Totong cedera di bahagian belakang akibat terkena serpihan kayu dan turut difahamkan kenderaan guru besar yang diletakkan di kawasan parkir sekolah rosak dihempap bumbung bangunan.

“Murid dan pengawas yang cedera diberikan rawatan sebelum peperiksaan disambung semula di bangunan bersebelahan,” katanya.

Dalam pada itu, Jame turut menjelaskan seramai enam pengawas peperiksaan terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter ke tiga buah sekolah di daerah Penampang akibat banjir.

Jelasnya, tiga sekolah yang terlibat adalah SK Terian, SK Buaian dan SK Longkongan.

“Peperiksaan ulangan UPSR ini melibatkan tujuh orang murid di SK Buaian, lima di SK Terian dan seorang di SK Longkongan,” katanya.