Kawasan lebih luas diwujudkan

0

Oleh YUSOP TEPPO //

Untuk melindungi orang utan supaya ia terus berkekalan

SANDAKAN: Kerajaan negeri telah mewujudkan kawasan yang lebih besar kepada orang utan dalam usaha menjaga dan melindungi populasi spesies ini supaya ia terus berkekalan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, berdasarkan penyelidikan terkini Sabah mempunyai populasi sejumlah 11 ribu orang utan yang menjadikan negeri ini sebagai kawasan habitat utama spesies ini berbanding kawasan lain yang mempunyai orang utan.

“Oleh itu, keutamaan perlu diberi kepada usaha menjaga dan melindungi populasi ini supaya ia berkekalan,” katanya ketika merasmikan sambutan Ulangtahun ke-50 Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok, di sini pagi kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Musa yang juga Menteri Kewangan memberitahu sehingga kini terdapat lebih 200 orang utan telah berjaya dipulihkan dan dikembalikan mendiami populasi Hutan Simpan Sepilok.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita telah mewujudkan kawasan perlindungan yang lebih besar kepada spesis ini dengan menambah keluasan hutan dilindungi di negeri Sabah,” katanya.

Beliau menjelaskan usaha ini bukan sahaja memberi impak positif kepada populasi orang utan tetapi juga spesis lain yang terdapat di negeri ini.

“Sesuai dengan kedudukan Sabah yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna, adalah menjadi tanggungjawab dan komitmen kita bersama untuk memelihara khazanah alam semulajadi negeri ini,” katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah dengan menyediakan kawasan perlindungan yang besar di Sabah demi penjagaan alam sekitar dan juga pemeliharaan kepelbagaian spesis.

“Pada tahun 2013, kita telah mewartakan hutan yang menghubungkan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Ngarai Imbak (Imbak Canyon) sebagai hutan perlindungan Kelas 1,” katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri juga telah mewartakan Hutan Simpan Malua seluas 33,969 hektar sebagai hutan perlindungan Kelas 1 khusus untuk perlindungan dan pemeliharaan orang utan.

“Kesemua kawasan hutan perlindungan ini merupakan kawasan penting bagi perlindungan orang utan dan juga hidupan liar yang lain,” katanya.

Beliau menjelaskan untuk rekod jumlah keluasan semua kawasan perlindungan di Sabah setakat 2014 adalah 1,350,433.98 hektar yang merupakan lebih 20 peratus dari keluasan negeri Sabah.

Musa menekankan bahawa lebih banyak lagi kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi akan dikenalpasti dan dijadikan kawasan perlindungan pada masa akan datang.

“Kawasan-kawasan berkenaan akan meliputi kawasan darat mahupun perairan negeri ini untuk tujuan pemeliharaan biodiversiti,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang turut membiayai pembinaan dua kemudahan baharu di pusat ini iaitu Taman Asuhan Luar Orangutan dan Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo.

“Saya percaya dengan adanya kemudahan baharu ini akan menambahkan lagi daya tarikan pelancongan di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok ini,” katanya.

Katanya, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo merupakan pusat pemulihan bagi 36 ekor beruang madu yang telah diserahkan oleh pemilik yang memeliharanya dahulu berikutan penaiktarafan beruang madu kepada satu spesis haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Saya amat mengalu-alukan inisiatif dan usaha bersepadu Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo ini yang ditubuhkan oleh satu NGO dengan kerjasama penuh Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan Sabah serta mendapat sokongan kewangan daripada badan korporat seperti Yayasan Sime Darby, serta orang perseorangan tempatan dan luar negara,” katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri amat menghargai dan mengalu-alukan semangat kerjasama semua pihak yang terlibat demi memantapkan lagi usaha pemeliharaan spesis-spesis hidupan liar di Sabah.

“Dengan bantuan kepakaran dalam bentuk kewangan, tenaga sukarelawan, peralatan, kenderaan dan juga kepakaran teknikal, saya percaya ia telah membantu memperkasakan lagi usaha-usaha konservasi orang utan di negeri Sabah,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius N Ambu, Pengerusi Andamy Group Tan Sri Andriew Liew dan pegawai-pegawai kerajaan.