Ujian Bertulis PT3: Soalan disediakan Lembaga Peperiksaan

0

KUALA LUMPUR: Semua set soalan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang berlangsung semalam hingga Khamis depan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan dan diuruskan oleh pengurusan sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata setiap sekolah bertanggungjawab memilih set soalan akan dijawab calon ujian PT3 dan kebarangkalian soalan yang sama dipilih antara sekolah adalah rendah.

“Sebagai contoh, dalam 30 soalan oleh kementerian (Lembaga Peperiksaan), pihak sekolah akan memuat turun hanya satu atau dua soalan sahaja yang mungkin sama dengan sekolah lain,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Ujian PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, di sini.

Beliau berkata, proses pemeriksaan kertas ujian bertulis PT3 pula akan dilakukan oleh guru sekolah masing-masing dengan pemantauan dan verifikasi oleh pentaksir kawasan dan pentaksir negeri.

Mengenai pelaksanaan PT3 di SMK Sentul Utama, Khair berkata beliau berpuas hati dengan kerja-kerja persiapan dan pelaksanaan dari aspek pengurusan ujian bertulis PT3.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Datin Nawal Salleh dan Pengetua SMK Sentul Utama Norsiah Yahya.

Seramai 453,413 pelajar menduduki Ujian Bertulis PT3 di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara dan daripada jumlah itu 21,368 adalah calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan 103 pusat peperiksaan.

Peperiksaan PT3 yang menggantikan peperiksaan berpusat awam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari 13 hingga 16 Okt ini. — Bernama