Bekas pegawai SB sedia surat permohonan pintas panggilan

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa seorang bekas pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman diarah menyediakan surat memohon keizinan Jabatan Peguam Negara untuk membuat pintasan komunikasi seorang individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Insp Felix Felicianus, yang kini bertugas di SB Sabah, berkata pegawai kanan SB Bukit Aman SAC Yusoff Mohd Amin memberi arahan itu kepadanya pada pagi 14 Feb tahun lepas.

“Biasanya, Yusoff akan meminta setiausahanya Siti Khalijah Mohd Yusof untuk menyediakan surat itu. Tetapi dia tidak ada di pejabat pada pagi tersebut,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 30 orang yang menghadapi pelbagai tuduhan berhubung pencerobohan itu.

Mereka terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, yang sesetengahnya menghadapi beberapa tuduhan, termasuk merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Felix berkata dia menyediakan surat berkenaan, yang menyatakan bahawa sasaran pintasan komunikasi itu ialah Datu Agbimuddin Kiram, dipercayai menggunakan dua nombor telefon – 014-2847213 dan 017-8900767.

Kata pegawai itu, dia menyediakan surat berkenaan berpandukan surat serupa yang disediakan Siti Khalijah pada 12 Feb tahun lepas, tetapi surat yang disediakannya menggunakan kepala surat, nombor telefon dan nombor faksimile baharu.

Menjawab soalan peguam Datuk N. Sivananthan kenapa nombor telefon dan faksimile yang beliau gunakan berlainan dengan yang terdapat dalam kepala surat yang digunakan Siti Khalijah, saksi itu berkata kepala surat berkenaan diberi kepadanya oleh Yusoff.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa ketika itu SB akan mewujudkan seksyen Perundangan dan akan menggunakan kepala surat baharu itu apabila beroperasi kelak.

Sementara itu, Siti Khalijah memberitahu mahkamah bahawa dia memaklumkan kepada Yusoff bahawa dia akan lewat masuk ke pejabat pada 14 Feb tahun lepas kerana perlu menangani urusan peribadi.

Kata Siti Khalijah dia menerima panggilan telefon daripada Yusoff, yang memerintahnya datang ke pejabat pada tengah hari 12 Feb tahun lepas – Hari Tahun Baharu Cina – bagi menyediakan sepucuk surat mohonan keizinan Jabatan Peguam Negara untuk memintas panggilan seorang individu.

Wanita itu berkata surat berkenaan adalah untuk memohon kebenaran memintas panggilan Al Wazir Osman alias Abdul, yang dipercayai menggunakan nombor telefon 012-8284091.

Kata Siti Khalijah, dia juga diarah menyediakan surat permohonan serupa pada 15, 18 dan 28 Feb tahun lepas.

Setiausaha itu berkata pada 15 Feb tahun lepas, dia menyediakan sepucuk surat untuk memohon keizinan memintas komunikasi enam individu – Salib Akhmad Emali yang menggunakan nombor telefon 019-5398122, Anwar Salib (014-8594510), Julham Rashid (017-8664394 dan 014-6774273) dan Tani Lahaddahi alias Panglima Tani (012-8388304 and 012-8659270).

Individu lain ialah Abdul Hadi Mawan (011-25259482) dan Datu Amir Bahar alias Datu Bahang, yang dipercayai menggunakan lima nombor – 011-25261322, 011-19046155, 019-8729217, 017-8953979 dan 012-8104507.

Siti Khalijah berkata pada 18 Feb, Yusoff mengarahnya menyediakan surat bagi memohon keizinan untuk memintas komunikasi Basil Samiul, yang menggunakan nombor telefon 019-7569906 dan 10 hari selepas itu, dia menyediakan sepucuk surat lagi yang menyebut dua sasaran – Abd Majil Jubin (012-8066842) dan wanita bernama Norhaida Ibnahi (013-6067588).

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama