Dua persatuan peniaga minta MB Selangor selesaikan isu khemah Deepavali

0

SHAH ALAM: Dua persatuan peniaga India semalam mengemukakan aduan dan dokumen mereka kepada pejabat Menteri Besar Selangor berhubung dakwaan penjualan khemah Deepavali yang tidak mematuhi piawai-an oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada peniaga.

Persatuan Peniaga Tekstil dan Barang Am India Malaysia (MITA) dan Persatuan Penjaja-penjaja Kecil India Jalan Tengku Kelana mengemukakan dokumen itu kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor Mohamad Yasid Bidin di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Setiausaha MITA Maheswary Ramasamy berkata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali perlu campur tangan untuk menyelesaikan perkara itu kerana ramai peniaga Little India Klang yang kerugian akibat khemah itu, yang dibeli dengan harga RM250 daripada MPK.

“Para peniaga kerugian setiap hari akibat keadaan khemah MPK, oleh itu kami mahu menuntut pampasan atas kerosakan yang dialami,” katanya kepada Bernama semalam.

Maheswary mendakwa hujan lebat dan ribut pada Ahad lepas menyebabkan beberapa khemah yang dijual MPK tumbang dan mengakibatkan kerosakan teruk ke atas barangan yang dijual para peniaga di Little India Klang.

“Malah, pada jam 12 tengah hari tadi (semalam), beberapa lagi khemah tumbang kerana hujan lebat. MPK mewajibkan peniaga membeli khemah berharga RM250 itu walaupun MITA memberi peringatan awal bahawa ia khemah lipat bermutu rendah dan mudah tumbang.

“Perniagaan yang selalunya laris ketika musim perayaan, kini sudah terjejas,” kata-nya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja-penjaja kecil India Jalan Tengku Kelana M.S.Mathiyalagan mendakwa MPK merampas dua gerai Deepavali daripada peniaga kecil di Little India kelmarin kerana dikatakan tidak mematuhi peraturan MPK.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana MPK mengutip wang pendahuluan RM300 daripada para peniaga sebagai pematuhan syarat dan MPK boleh merampas wang itu jika ada bukti peniaga melanggar peraturan dan bukannya merampas khemah,” katanya.

Kelmarin, MITA membuat laporan polis terhadap MPK bagi menuntut pampasan atas kerosakan yang dialami peniaga berikutan penjualan khemah Deepavali tidak memenuhi piawaian itu. — Bernama