Empat pemain perseorangan lelaki lepasi pusingan pertama

0

KUCHING: Hanya empat pemain perseorangan lelaki negara berjaya melepasi pusingan pertama Kejohanan Tenis Remaja ITF Piala Ketua Menteri Sarawak ke-24 (II) di Gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini semalam.

Pemain ranking ke-1,155 ITF Hao Sheng Koay menepati ramalan apabila tidak berdepan masalah menundukkan Chak Yin Chan dari Hong Kong dengan 6-2, 6-3.

Rakan sepasukan Amirul Shahril Mohd Adam Das pula menewaskan Kunaal Namashivaya dari India dengan 6-3, 6-0.

Ini disusuli dengan kemenangan Darrshan Suresh terhadap Gabriel Jun Yong (Singapura) dengan 6-3, 6-2 dan Satveer Singh ke atas Daniil Michshenko (Kazakhstan) dengan 7-6 (6), 1-6, 6-3.

Atlet SUKMA Sarawak, Rohizat Borhan Janang gagal memberikan saingan apabila tewas di tangan peserta Amerika Syarikat, David Marshall dengan 6-2, 6-4.

Nasib sama menimpa seorang lagi pemain Sarawak, Muhammad Aiman Hamdan apabila mudah dijinakkan pemain Denmark, Tobiaz Lentz dengan 6-0, 6-0.

Turut terkandas Hao Ci Koay, Muhamad Asyraff Safian, Sri Aakash Reddiyar, Muhammad Khairil Anas Abdul Rahman, Zu Zinyang Tan, Chen Kiat Tay, Christian Didier Chin dan Yugantaarshwar Ganeesan.

Dalam saingan wanita pula, Nurul Amirah Ahmad Zamzury melakarkan kejutan setelah berjaya menewaskan pemain Sweden, Enni Zander dengan 6-2, 6-0.

Kesemua perlawanan akan bersambung hari ini.