Liga Sibu 2014 bersambung semula

0

SIBU: Selepas berehat hampir dua bulan, Liga Sibu 2014 bagi Divisyen 1 dan Divisyen 2 bersambung semula pada hujung minggu lalu.

Dalam perlawanan Divisyen 1 pada 11 Oktober lalu, pasukan Exodust FC menewaskan Rascom FC dengan 4-2.

Sementara perlawanan pada 12 Oktober, Rimba Hijau FC menang 2-0 ke atas Miskal FC.

Dalam perlawanan Divisyen 2, Mikas FC seri 1-1 menentang DD FC manakala Busana FC juga seri 1-1 bertemu Red Hackle FC.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA), Abdul Hajis Abdullah berkata perlawanan dihentikan selama hampir dua bulan bagi memberi laluan kepada Piala Sarawak 2014.

Katanya, ini kerana ramai pemain Liga Sibu dipilih menyertai pasukan Bahagian Sibu pada kempen Piala Sarawak 2014 yang berlangsung di Kuching dan Kota Samarahan.

Pada hujung minggu ini, dua lagi perlawanan berlangsung bagi Divisyen 1 di Stadium Tun Zaidi dan Divisyen 2 di Padang Penjara.

Pertemuan Divisyen 1 menyaksikan Nazario FC bertemu TZ FC sementara Rascom FC bertemu Miskal FC.

Divisyen 2 menyaksikan pertemuan Indah FC dengan T FC sementara BN Stapang FC bertemu Remaja FC.

“Kita menjemput semua peminat bola sepak tempatan menyaksikan perlawanan terbabit sekali gus memberi sokongan kepada pasukan-pasukan yang bertanding,” katanya.