114 penyertaan bakal meriahkan Pesta Air Sungai Krian mulai 18 Oktober ini

0

SARATOK: Pesta Air Sungai Krian mulai 18 Oktober ini menerima sebanyak 114 penyertaan dari seluruh negeri termasuk 57 penyertaan bagi acara pam ski.

Jurucakap Bahagian Teknikal Regata, John Jemat memberitahu acara air yang menjadi tumpuan orang ramai menerima sambutan luar jangkaan pihak penganjur.

“Penganjuran kali ini mendapat sambutan yang sangat positif, sehingga selepas tarikh tutup penyertaan masih terdapat pasukan yang ingin mengambil bahagian.

“Untuk acara regata atau lumba perahu, kita akan mempertandingkan beberapa kategori utama iaitu Sakai 10, 15, 20, 25 dan 30 termasuk acara yang bakal mencuri tumpuan iaitu kategori wanita melibatkan Sakai 15 dan Sakai 20,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang sambutan acara air pada Pesta Air Sungai Krian 2014 hujung minggu ini di sini.

John menambah, sebahagian besar penyertaan adalah dari kawasan sekitar Saratok sendiri, namun buat julung kalinya Pesta Air Sungai Krian turut menerima lebih 30 penyertaan dari kawasan Kuching.

“Begitu juga dengan acara pam ski, iaitu perlumbaan bot laju dengan kuasa enjin 6.5 kuasa kuda juga tidak kurang hebat sambutannya apabila kita menerima penyertaan dari Miri, Daro, Debak, Samarahan serta tuan rumah.

“Pesta Air Sungai Krian nanti akan menyaksikan sebanyak 57 penyertaan untuk acara pam ski dalam dua kategori utama iaitu enjin belakang dan enjin hadapan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk memeriahkan Pesta Air Sungai Krian yang menjanjikan pengalaman baharu kepada pengunjung khususnya dari luar Saratok.

“Untuk makluman, bermula 18 Oktober, akan berlangsung acara lumba perahu di peringkat saringan, disusuli hari berikutnya pasukan bakal merebut takhta ‘Raja Sungai’,” tambahnya.

Menteri Pembangunan Sosial merangkap Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom dan Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap ADUN Kalaka Datuk Abdul Wahap Aziz dijangka hadir menyaksikan acara tersebut.