Cabaran semakin pudar

0

Oleh Harry Ilias //

Empat pemain perseorangan tewas pada ITF Piala Ketua Menteri Sarawak

KUCHING: Cabaran negara pada Kejohanan Tenis Remaja ITF Piala Ketua Menteri Sarawak ke-24 (II) kian pudar setelah empat pemain perseorangan lelaki tewas di tangan lawan masing-masing semalam.

Harapan yang disandarkan terhadap Hao Sheng Koay tidak kesampaian setelah pemain itu tewas 6-3, 6-2 di tangan pilihan kelapan dari Afrika Selatan, Okkie Kellerman.

Shamirul Shahril Mohd Adam Das pula dikecewakan pilihan kesembilan, Tiago Cacao dari Portugal dengan 6-1, 6-2 manakala Darrshan Suresh terkulai di tangan Nawakarn Khunjan dari Thailand dengan 6-0, 6-0.

Turut tersingkir Satveer Singh Seth ketika berdepan peserta Indonesia, Anthony Susanto dengan 6-1, 6-1.

Sementara itu, pilihan pertama dari Uzbekistan, Djurabeck Karimov melangkah ke pusingan seterusnya dengan bergaya setelah menewaskan Udayan Bhakar dari India dengan 6-0, 6-4.

Bagaimanapun, kejutan berlaku apabila pilihan kedua Francois Kellerman dari Afrika Selatan pulang awal setelah dikalahkan August Holmgren dari Denmark dengan 1-6, 6-1, 6-3.

Turut mara pilihan ketiga dari India, Garvit Batra dengan menewaskan David Marshall Nguyen dari Amerika Syarikat 6-3, 7-6 (7/5).

Pemain lain yang turut mara ialah Sebastien Butler, Alexey Prokopchuk, Cing-Yang Meng, Alex Solanki, Vorachon Rakpuangchon, Hua-Chen Yu, Scott Jones, Saida’lo Saidkarimov dan Artem Vu.

Dalam saingan perseorangan wanita, pilihan pertama dari Perancis, Tessah Andrianjafitrimo yang menundukkan Tiffany Linh Nguyen dari Amerika Syarikat dengan 6-0, 6-0.

Vasanti Shinde dari India yang juga pilihan kedua turut melangkah selesa dengan menewaskan Ssu-Yi Wu dari Taiwan dengan 6-1, 6-1.

Sementara pilihan ketiga, Gozal Ainitdinova dari Kazakhstan tidak berdepan masalah menundukkan Saya Usui dari Jepun dengan 6-1, 6-0.

Peserta lain yang mengesahkan penyertaan termasuk Tzu-Hui Chen, Eden Richardson, Sarvinov Saidhujaeva, Youmizhuoma Youmizhuoma, Khim Iglupas, Duzhima Duzhima, Kwan Yau Ng, Louise-Mare Botes, Pei Hsuan Chen dan Komola Umarova.