Jangan percaya video rompak: Chandra

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

Rakaman berdurasikan 1.14 minit yang tersebar meluas di laman sosial termasuk Facebook dan Whatsapp ini bukan terjadi di Jalan Gaya, Kota Kinabalu seperti didakwa ramai pihak.

KOTA KINABALU: Polis menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di Kota Kinabalu agar tidak terpengaruh dengan khabar angin berhubung berlakunya kejadian tembak dan rompak di Jalan Gaya, di sini yang tersebar meluas di laman sosial kelmarin.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, insiden yang dirakam menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai berlaku di negara jiran bukan di pusat bandaraya sepertimana didakwa ramai pihak.

Rakaman CCTV yang berdurasikan 1.14 minit dan menjadi viral di laman sosial seperti Facebook dan Whatsapp itu memaparkan insiden sebuah premis (dipercayai kedai emas) telah dimasuki oleh sekumpulan lelaki lengkap bersenjata sebelum menembak seorang pengawal keselamatan di situ.

“Tiada kejadian rompakan atau tembak membabitkan sebuah kedai emas di Jalan Gaya sepertimana didakwa dan tersebar meluas di laman-laman sosial kemarin.

“Sehubungan itu, kita berharap orang ramai terutamanya penduduk di Kota Kinabalu agar jangan panik kerana insiden terbabit difahamkan terjadi di negara jiran.

“Polis juga meminta masyarakat awam untuk lebih bertanggungjawab bagi menyebar sesuatu lebih-lebih lagi berkaitan isu keselamatan kerana ia mampu mencetuskan keadaan huru-hara,” katanya di sini kelmarin.