Manfaat cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Ia bertujuan mengelakkan sebarang aktiviti tidak sihat berlaku di kalangan murid, kata Karim

KREATIF: Karim (tengah) mendengar taklimat daripada Azran (dua kanan) mengenai ciptaan kraf tangan daripada murid sekolah rendah yang menyertai Program Kraf-Mega RIMUP-Pasca UPSR 2014, di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu ibu bapa memanfaatkan cuti persekolahan hujung tahun anak-anak dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Menurutnya, penganjuran aktiviti seumpama itu seharusnya dijadikan sebagai aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh murid.

“Saya yakin aktiviti dan program yang dianjurkan pada musim cuti sekolah adalah sesuatu yang amat baik selain menjadi ruang untuk murid sekolah berkumpul bersama rakan sebaya.

“Pada masa sama, ia bertujuan mengelakkan sebarang aktiviti tidak sihat berlaku di kalangan murid lebih-lebih lagi pada waktu cuti sekolah.

“Justeru, saya mahu menyeru ibu bapa di luar sana untuk menghantar anak-anak menyertai program dan aktiviti yang mendatangkan manfaat semasa cuti persekolahan,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jawatankuasa kampung mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dalam merencana program untuk anak-anak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kraf-Mega Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)-Pasca Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Mengulas mengenai penganjuran program itu, Karim melahirkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraf Tangan Malaysia (PKKM) Cawangan Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan Majlis Guru Besar Daerah Samarahan yang bertindak selaku penganjur program tersebut.

Sementara itu, Pengarah PKKM Cawangan Sarawak Azran Arip dalam ucapan aluannya berkata, pihaknya mahu menanam semangat cintakan kraf bukan sahaja di kalangan murid sekolah bahkan kepada masyarakat setempat.

“Kami mahu memupuk semangat mencintai seni kraf tangan bermula dari bawah lagi iaitu di peringkat usia muda.

“Namun, kami tidak lupa untuk menyemai semangat yang sama kepada generasi yang lebih dewasa dan kami mahu semua lapisan masyarakat berupaya menjadikan kemahiran mencipta kraf tangan sebagai aktiviti penjanaan pendapatan,” katanya.

Terdahulu, jelas Azran, PKKM Cawangan Sarawak turut mengadakan program yang sama melibatkan seramai 1,924 peserta di kalangan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, IPTA, IPTS, persatuan dan jabatan kerajaan.

Program Kraf-Mega RIMUP-Pasca UPSR 2014 menyaksikan penglibatan 358 peserta di kalangan murid tahun empat dan tahun lima serta 62 guru Pendidikan Seni Visual daripada 50 SK dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah Samarahan.

Hadir sama Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Samarahan Latif Jem dan Pengarah ARKIB Cawangan Sarawak Roseline Mapong Sabai.