Empat remaja tempatan ditahan bantu siasatan kes pukul

0

Beginilah keadaan kejadian semasa mangsa dibelasah di kedai serbaneka 24 jam di pekan Keningau melalui rakaman CCTV.

KENINGAU: Polis menahan empat remaja lelaki warga tempatan lingkungan umur 18 hingga 22 tahun pada jam 2.10 petang Selasa lepas.

Ia berikutan kejadian kes pukul menggunakan rantai kunci dan sebilah pisau pemotong daging terhadap seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun di sebuah kedai serbaneka 24 jam pada jam 12.38 tengah malam pada hari berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau ASP Merbin Anak Lisa berkata, bertindak atas maklumat orang awam, keempat-empat suspek ditahan berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan di sebuah rumah tidak bernombor di pekan Keningau.

“Seorang lagi suspek masih bebas, namun sudah dikenali pasti dan kini sedang diburu polis,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan oleh balas dendam yang dipendam selama dua tahun oleh suspek terhadap mangsa, yang mana kesemua suspek dan mangsa pernah bergaduh sekali pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Merbin berkata, pada masa kejadian mangsa yang ingin membeli barang di kedai itu telah diserang oleh kelima-lima suspek.

“Selepas kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di tapak kaki dan lutut serta kening kepala sebelah kanan. Mangsa menerima rawatan di Hospital Keningau dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan. Keempat-empat suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Oktober ini.

Sementara itu, beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap semua suspek yang ditahan tiga daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Ampethamine.