Kedai emas dirompak

0

TUARAN: Seorang lelaki tempatan cedera di kepala selepas dihentak dengan senjata oleh seorang daripada tiga lelaki bersenjata api yang merompak sebuah kedai emas di sini pagi kelmarin, menyebabkan kerugian lebih RM15,000.

Mangsa berusia lingkungan 30an itu dikatakan berada secara kebetulan di lokasi kejadian apabila terserempak kumpulan perompak berkenaan, sebelum seorang daripada mereka menghentaknya dengan senjata api.

Mangsa kini dilaporkan stabil setelah mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Daerah Tuaran.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, Kedai Emas Man-Man, terletak di tengah pekan Tuaran, mengalami kerugian lebih RM15,000.

Tiga perompak bertopeng dikatakan meluru masuk ke kedai emas itu dengan membawa sejenis objek dipercayai senjata api. Mereka mengambil masa kurang 5 minit memecahkan cermin pameran dan hanya sempat mengambil beberapa barangan kemas di situ, sebelum melarikan diri.

Ketiga-tiga perompak itu menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lagi suspek, lalu memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

Tiada sebarang tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan hasil tinjauan di lokasi, terdapat sebutir peluru dipercayai milik suspek berada di luar perkarangan kedai emas itu yang disyaki terjatuh ketika memukul mangsa.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Abdul Fuad Abdul Malek ketika ditemui di tempat kejadian mengesahkan tiada tembakan dilepaskan oleh suspek.

“Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian terdapat dua pekerja wanita berada di kedai emas itu sebelum dimasuki tiga suspek berkenaan.

“Ketiga-tiga mereka dipercayai membawa sejenis objek dipercayai senjata api, lalu memecahkan cermin pameran dan kemudiannya melarikan diri.

“Seorang lelaki yang merupakan orang awam tercedera di bahagian kepala dalam kejadian itu selepas dipukul salah seorang suspek ketika mereka melarikan diri. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil,” katanya.

Fuad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk segera tampil ke balai terdekat untuk membantu siasatan.

“Selain itu, kita memohon kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin mendakwa terdapat das tembakan dilepaskan dalam kes rompakan ini.

“Siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya, sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjat api (Penalti Lebih Berat) 1971.