Polis siasat identiti penyerang

0

KOTA KINABALU: Tiada jaminan khusus diberikan kepada mana-mana kapal atau bot nelayan di negara ini untuk memasuki perairan Filipina, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman.

Dalam mendedahkan perkembangan siasatan berhubung sebuah bot nelayan yang ditembak pada Selasa lalu, beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah memasuki perairan Filipina.

“Berdasarkan buku log dan sistem penentu kedudukan global (GPS), sah memang mereka memasuki perairan Filipina.

“Tentang mengapa dan kenapa mereka memasuki kawasan perairan itu (Filipina) kita masih siasat,” katanya.

Dalam kejadian pagi Selasa lalu, dua daripada 10 warga Vietnam tercedera selepas terkena tembakan oleh kumpulan lelaki bersenjata di antara perairan Pulau Bangi, Kudat dan Kagayan, Filipina.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Nguyen Nain Len, 47, mengalami kecederaan di bahagian bawah ketiak kirinya manakala awak-awak bot, Huynh Thank Tuan, 33, cedera di lutut.

Jalauddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung identiti kumpulan bersenjata Filipina yang didakwa menyerang bot dinaiki mangsa terdiri daripada warga Vietnam itu.

“Kita akan merujuk kepada pihak keselamatan di Filipina. Surat juga akan dihantar ke Interpol di sana dalam menceritakan keadaan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.

Pertukaran jawatan itu membabitkan Deputi Suprintenden Md Razif Alang Mat Jaya dilantik ketua JSJK yang baharu menggantikan Suprintenden Saiman Kasran yang akan berpindah menjadi pensyarah di Maktab Polis Kuala Lumpur.