Suarez terima anugerah Kasut Emas dari Dalglish

0

BARCELONA, Sepanyol: Luis Suarez menerima anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak liga di Eropah musim lepas dari Kenny Daglish, orang yang membawa beliau ke Liverpool pada 2011, Rabu lepas.

Penyerang kontroversi kelab Barcelona dan Uruguay itu berkongsi anugerah dengan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang turut menjaringkan jumlah gol yang sama musim lepas.

Suarez, yang akan menamatkan penggantungan pengharaman aktiviti bola sepak selepas disabitkan bersalah menggigit pemain lawan di Piala Dunia 2014, dengan menentang Real Madrid Sabtu ini, berkata: “Saya mahu berterima kasih kepada semua orang yang penting dalam kehidupan saya, isteri dan anak-anak saya.

“Dan sudah tentu semua orang di Liverpool – rakan-rakan seperjuangan, bukan hanya tahun lepas tetapi seluruh tiga setengah tahun saya di sana.

“Ia adalah tahun-tahun yang hebat dan juga ucapan terima kasih kepada beliau (Dalglish) kerana membeli saya, kerana mengesan bakat saya.

“Sekarang saya dalam satu tempoh peralihan baharu, dan saya harus menikmati peringkat baharu dalam kehidupan saya – ia satu impian menjadi kenyataan.”

Bekas pengurusnya di Anfield, Dalglish, ditanya apa pandangan beliau dengan Suarez di Nou Camp (Barcelona).

Beliau berkata: “Saya tidak fikir ada orang yang akan dapat menghalangnya.

“Beliau bermain dengan hebat di mana-mana kelab – satu kejayaan yang besar dan pemain yang menarik sekali. Tiada sebarang sebab kenapa beliau tidak dapat mengulanginya di Barcelona.

“Tetapi jika beliau ada masalah, saya pasti kami boleh membawanya pulang secara pinjaman.”

Ditanya jika beliau sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Real, beliau berkata: “Jika anda bertanya kepada saya seminggu yang lalu, sebelum dua perlawanan bersama Uruguay, saya mungkin ada keraguan. — AFP