Wujudkan struktur, sistem inovatif

0

Jabatan Pertanian harus capai matlamat lebih cekap dan efektif: Jabu

Oleh Karen Bong //

KUCHING: Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menggesa Jabatan Pertanian merangka dan mewujudkan struktur, sistem dan strategi yang inovatif untuk kakitangan dan para petaninya.

Menurut Jabu, perkara ini penting dalam mempromosi-kan keselamatan makanan, meningkatkan pendapatan dan membasmikan kemis-kinan dalam kalangan para petani.

Malah menurut Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri, ia sejajar dengan penstrukturan semula jabatan dengan matlamat untuk penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan efektif.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Datu Dr Ngenang Janggu sempena Jamuan Malam Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Pertanian di sebuah hotel di sini kelmarin.

Jabu berkata, bagi meningkatkan lagi perkhidmatan, jabatan telah menyiapkan kertas kerja mengenai struktur organisasi jabatan yang kini dalam proses kelulusan bagi pelaksanaan.

“Visi baharu jabatan adalah untuk ‘Spearhead Commercialisation of Agriculture and Transformation of Agriculture Community to Achieving High Income.’

“Dengan visi ini, maka adalah perlu untuk jabatan mempunyai hala tuju yang strategik bagi pembangunan pertanian,”katanya.

Dalam proses pengembangan fasiliti dan infrastruktur, Jabu memberitahu kementeriannya telah menaik taraf 48 stesen pertanian luar bandar yang akan ditadbir oleh pegawai pembantu pertanian, empat pembantu pertanian dan dua pemandu.

Malah, katanya, pekerja-pekerja harus terlatih dan diselia ketika menjalankan tugas bagi menyediakan perkhidmatan yang ber-kesan.

“Program dan projek kita di lapangan haruslah dipantau agar pelaksanaannya berjaya dan memberi manfaat kepada para petani,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Negeri Datu Lai Kui Fong berkata Jabatan Pertanian memberi sokongan penuh kepada para penyelidik terutama golongan muda untuk mengikuti kursus ijazah lanjutan sebagai sebahagian daripada pembangunan kapasiti bagi menghadapi cabaran pemodenan dan pengkomersialan pertanian di Sarawak.

Menurut beliau, penyelidik merupakan minda penting yang diperlukan untuk memperkembangkan pembangunan dalam sektor pertanian.

“Saya menggesa semua penyelidik dalam jabatan ini untuk mengikuti program ijazah sarjana dan ijazah lanjutan kerana anda merupakan modal insan penting kepada negara.

“Saya memberi jaminan bahawa jabatan akan memberi sokongan penuh kepada anda dengan syarat kajian yang dibuat haruslah relevan dan memanfaatkan Sarawak,” katanya.

Persidangan tiga hari tersebut dihadiri sekitar 180 orang pegawai dan membincangkan program serta fokus Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) selain berkongsi hasil kajian dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pertani-an.

Mengulas mengenai Hak Harta Intelek (IPR), Lai berkata aspek ini semakin meningkat kepentingannya dalam era globalisasi masa ini.

“Fokus IPR adalah pen-ting bagi membolehkan negara mencapai status negara maju,” katanya.

Dalam pada itu di bawah Indikasi Geografi (GI), Lai memberitahu beberapa produk telah didaftarkan seperti Beras Bario, Beras Biris Sarawak, Beras Bajong Sarawak, Terung Asam Sarawak dan Dabai Sarawak.

Tahun depan, katanya, beberapa lagi produk Sarawak seperti Isau Sarawak, Du-rian Nyekak Sarawak dan Ikan Terubuk Mulut Besar Sarawak akan turut didaftarkan untuk pengiktirafan GI.