Kemalangan jalan raya di Sarikei meningkat

0

Kes meningkat 6.3% iaitu 553 bagi lapan bulan pertama tahun ini berbanding 518 tempoh sama 2013

Oleh Reno Benjamin //

BINTANGOR: Kes kemalangan jalan raya di bahagian Sarikei meningkat sebanyak 6.3 peratus iaitu 553 kes bagi lapan bulan pertama tahun ini berbanding 518 kes bagi tempoh sama 2013.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob berkata, jumlah kematian meningkat sebanyak 34.5 peratus iaitu 55 kes pada 2014 (Jan-Ogos) berbanding 36 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah kes kemalangan melibat penunggang motosikal di bahagian Sarikei memingkat sebanyak 21.5 peratus iaitu 65 kes pada 2014 (Jan-Ogos) berbanding 51 kes pada tempoh sama 2013,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSJ) di Stadium Bola Keranjang Bintangor, semalam.

Hadir sama Pengarah JPJ Negeri Sarawak Ibrahim Othman, Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot serta yang lain.

Menurut Yusoff, peningkatan kes kemalangan ini menjadi satu cabaran kepada JPJ kerana kerajaan berusaha keras mengurangkan kadar kematian dan kemalangan terutama dalam kalangan penunggang motosikal.

“Kerajaan sentiasa berusaha mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya. Usaha ini memerlukan penglibatan, penyertaan dan sokongan semua lapisan masyarakat.

“Kami di JPJ percaya dengan sokongan rakyat Malaysia dalam perkara ini, khususnya daripada kalangan rakyat sendiri, kemalangan akan berkurangan,” jelasnya.

Yusoff berkata rakyat Malaysia perlu ada kesedaran untuk sama-sama membantu mengelak perkara ini meningkat dari semasa ke semasa.

“Rakyat boleh membantu dengan meningkatkan kesedaran supaya mematuhi undang-undang jalan raya. Kesedaran ini membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian,” tambah beliau.

Sementara Dahim dalam ucapannya berharap program SKSJ akan diteruskan pada tahun depan bagi membantu penduduk luar bandar mendapat lesen  motosikal.

Menurut beliau, program itu amat baik serta memberi banyak manfaat kepada penduduk luar bandar di Sarikei mendapatkan lesen.

“Kita amat berterima kasih kepada JPJ den kerajaan kerana menganjurkan program ini di sini.

“Kita berharap ini bukan program terakhir di sini, sebaliknya akan dibuat lagi pada tahun depan,” ujarnya.