Aksi bola sepak remaja tahun depan

0

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terus merancakkan usaha melahirkan pemain-pemain bola sepak berbakat menerusi penganjuran Kejohanan Bola Sepak Remaja Bawah 19 Tahun.

Naib Presiden FAS, Haidel Heli berkata kejohanan berprestij itu merupakan kesinambungan Piala Isuzu yang berlangsung tahun lalu dan dijangka diteruskan pada Januari tahun depan.

Menurutnya, jadual asal kejohanan adalah pada penghujung tahun ini namun terpaksa dipinda atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Kebanyakan pemain terlibat adalah pelajar dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Kita tidak mahu disebabkan kejohanan ini, pelajaran mereka terganggu, justeru FAS mengubah jadual kejohanan kepada tahun depan,” katanya.

Haidel berkata, perubahan tarikh juga akan memberi masa bagi setiap pasukan membuat persediaan dengan lebih mantap.

Tambahnya, edisi kali ini agak berbeza dengan kejohanan akan dibahagikan kepada empat zon merangkumi Zon A melibatkan Kuching dan Samarahan.

Manakala Zon B diwakili Sri Aman, Betong dan Sarikei, Zon C – Sibu, Mukah dan Kapit sementara Zon D – Bintulu Miri dan Limbang.

“Saingan separuh akhir dan final akan berlangsung di Kuching,” katanya sambil memberitahu kejohanan itu berperanan sebagai medan mengenal pasti pemain-pemain berbakat diserap dalam skuad belia Sarawak dan SUKMA 2016.