Cubaan seludup minyak diesel bersubsidi gagal

0

LIMBANG: Keasyikan seorang lelaki mengepam minyak disyaki diesel bersubsidi ke dalam sebuah tangki simpanan di sebuah stesen minyak berakhir selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5  di Jalan Kubong, di sini tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.15 itu, polis menahan pemandu lori tangki itu selepas diekori dari stesen minyak sehingga ke syarikat pembalakan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata hasil pemeriksaan ke atas lori tangki itu mendapati lelaki itu mengisi minyak dipercayai minyak diesel bersubsidi sebelum ditahan dan dibawa ke Pangkalan Polis Marin Limbang.

“Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah 5 ACP Kalai Chelvan berkata, pemeriksaan lori tangki itu mendapati sebanyak 12,000 liter padu minyak diesel dipam ke tangki simpanan berdekatan.

“Suspek yang berumur 46 tahun itu gagal mengemuka sebarang dokumen berkaitan pembelian minyak diesel dan disyaki cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi,” katanya.

Anggaran nilai minyak diesel tersebut adalah RM26,400 dan dibawa bersama-sama lori dirampas ke Pangkalan PPM untuk diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Limbang bagi siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

PERIKSA: Anggota polis memeriksa sebuah lori tangki di kawasan pembalakan Jalan Kubong tengah hari kelmarin.