Dua lelaki cedera ditembak dalam pergaduhan

0

KUCHING: Seorang parah di bahagian perut manakala seorang lagi cedera di lengan, dipercayai ditembak menggunakan senapang angin jarak dekat, awal pagi semalam.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa berusia 20 tahun dan berasal dari Kampung Merdang Lumut itu dikatakan terlibat dalam pergaduhan di sebuah premis.

Mangsa pertama yang mengalami dua kesan tembakan di perut, tiba di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 4 pagi, sebelum dirujuk ke HUS kira-kira jam 6 pagi.

Manakala mangsa yang mengalami kesan tembakan di lengan dan seorang lagi rakan yang dipukul menggunakan kayu, tiba di HUS jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kes itu daripada pihak hospital yang mendakwa terdapat pesakit yang mempunyai kesan tembakan namun setakat petang semalam belum ada laporan polis diterima.

“Mangsa adalah saksi utama kes tembak itu dan hanya dia yang dapat memberitahu apa sebenarnya berlaku tetapi buat masa ini, mangsa masih menjalani pembedahan.

“Bagaimanapun, polis akan melakukan kawalan keselamatan di hospital dan kami akan meneliti kes ini daripada aspek lain,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Katanya polis sedang mengumpul maklumat memandangkan mangsa yang merupakan saksi kejadian masih menerima rawatan di HUS.

“Bapa kepada mangsa juga memberitahu, dia dimaklumkan bahawa anaknya ditembak menggunakan senapang angin,” katanya.